Dr. Zulkifle Ali Al-hafiz

KUANTAN – Umat Islam di Pahang diminta menjadi jemaah yang bertanggungjawab dan berhenti menuding jari kepada kluster masjid yang kononya menjadi punca penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, masjid menjadi mangsa keadaan apabila sesetengah pihak menyalahkan operasi masjid di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mahu pun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita buka tutup masjid berdasarkan kes. Kalau ada kes yang banyak maka kawasan diumumkan terlibat PKPD, masjid ditutup kerana masjid lokasi tumpuan perhimpunan.

“Masjid bukan punca, tetapi ia boleh jadi sebelum ke masjid atau selepas ke masjid, daripada orang luar yang datang ke masjid.

“Ada juga jemaah tidak menyedari diri bergejala tapi hadir membawa virus, jadi apabila tidak patuhi SOP, ia memberi kesan kepada orang awam.

“Keputusan ini menjaga maslahat orang ramai, menjaga orang ramai, kita ada jawatankuasa yang memperhalusi SOP dan mengikut nasihat PKD,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Artikel berkaitan: Masjid Sri Maulana tidak patuh SOP dikompaun RM10,000

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuantan yang akan bermula pada 24 Mei ini, umat Islam diingatlan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti pengimarahan masjid di daerah ini.

“Penangguhan aktiviti melibatkan masjid dan kebenaran bagi solat Jumaat di surau, solat fadhu berjemaah dan majlis ilmu sehingga PKPD dijadualkan tamat pada 7 Jun 2021.

“Bagaimanapun alunan ayat al-Quran dan bilal bertugas termasuk tarhim Subuh dibenarkan selama 15 hingga 30 minit sebelum Subuh.

“Hanya empat orang sahaja dibenarkan untuk solat jemaah dalam satu masa bagi menghidupkan syiar dan tanggungjawab fardhu kifayah yg terdiri daripada seorang imam, bilal, siak dan ahli jawatankuasa,” terang Zulkifle.

Manakala pegawai masjid dan surau bertugas perlu memastikan pintu pagar berkunci ketika azan iqamah solat dan doa dilaksanakan dan tiada jemaah lain turut hadir serta berjemaah.

Tegasnya, semua aktiviti surau termasuk azan ditangguhkan  seandainya pematuhan penuh SOP ini tidak mampu dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan. – MalaysiaGazette