Tiada penggunaan katil bagi kes kritikal di ICU direkodkan KKM semalam.

KEPALA BATAS – Unit Rawatan Rapi Medan (Field) ICU yang dibina di Hospital Kepala Batas di sini (HKB) akan beroperasi sepenuhnya bermula Selasa ini.

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi berkata, keseluruhan persiapan Field ICU tersebut telah lengkap dan pihaknya akan melakukan ujian (dry run) esok sebelum menerima kemasukan pesakit Covid-19.

Datuk Mohd Zakaria Yadi.

Jelas beliau, kerja pembinaan pembinaan Field ICU HKB bermula pada 18 Mei lalu dan ia siap mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita ‘dry run’  terlebih dahulu esok untuk memastikan semua persiapan yang dibuat itu tidak mempunyai sebarang masalah termasuk dari segi isu teknikal.

“Apabila semuanya sudah lengkap diuji, kita akan mula menerima pesakit untuk dirawat di sini pada Selasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan bagi melihat persiapan Field ICU HKB di sini, hari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham mendengar penerangan diberikan pegawai ATM ketika melawat Field ICU di Hospital Kepala Batas di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat; Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib.

Tambah beliau, Field ICU HKB ini menggunakan sistem bibrid iaitu kombinasi modul kontena dan khemah utilis yang dilengkapi peralatan perubatan yang diperlukan.

Jelas Mohd Zakaria, Field ICU itu juga mampu menempatkan 24 pesakit kritikal Covid-19 dalam satu masa dengan kekuatan 534 anggota ATM serta 29 staf awam.

“Kita semua sedia maklum, penubuhan Field ICU di sini untuk kita membantu Kementerian Kesihatan (KKM) atas dasar keperluan yang menonjol kerana keadaan ICU HKB hampir penuh diisi.

“Diharapkan dengan kerjasama yang terjalin dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat untuk menghadapi keadaan Covid-19 semasa,” katanya.

Dry run Field ICU di Hospital Kepala Batas dijangka dilakukan esok.

Mengulas mengenai sama ada ATM akan menubuhkan lagi ICU Medan di negeri-negeri lain, Zakaria berkata, pihaknya akan melihat permohonan dan keperluan atau aset untuk tujuan itu.

“Kita masih lagi melihat permohonan dan keperluan atau aset-aset yang kita ada yang mana kita akan cuba bantu setakat yang mampu.

“Namun dalam usaha ini,  kita juga menyatakan keperluan bantuan yang diperlukan oleh agensi lain seperti ‘manpower’, doktor, paramedik serta alat-alat khusus untuk membolehkan kita memberi bantuan selanjutnya,” kata Mohd Zakaria.

Pada 16 Mei lalu, media tempatan melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan Field ICU yang dikhaskan bagi merawat pesakit kritikal di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keperluan itu  berikutan faktor peningkatan kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang telah mencecah lebih daripada 100 peratus. – MalaysiaGazette