Tan Sri Dr Noor Hisham (tengah) mengadakan lawatan di Field ICU Hospital Kepala Batas di sini hari ini.

KEPALA BATAS – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji keperluan pembinaan Unit Rawatan Rapi Medan (Field) ICU di Kelantan dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menerima permohonan berhubung pembinaan Field ICU di beberapa negeri termasuk Kelantan dan Negeri Sembilan susulan peningkatan penerima pesakit kritikal Covid-19.

Jelas beliau, pihaknya akan melihat keperluan sebelum melakukan pembinaan Field ICU di hospital yang membuat permohonan.

“Kita akan lihat ruang yang sedia ada di hospital berkenaan untuk menambah jumlah katil merawat pesakit Covid-19 yang kritikal dan jika perlu baru kita akan lakukan pembinaan Field ICU.

“Setakat ini, kita sudah dirikan empat Field ICU iaitu di Kapit, Sarawak; Tawau, Sabah; Pokok Sena, Kedah serta Kepala Batas, Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan bagi melihat persiapan Field ICU Hospital Kepala Batas di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat; Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib.

Tambah Noor Hisham, penambahan jumlah katil dan ICU bukan satu penyelesaian buat negara dalam menangani kes jangkitan Covid-19.

“Penambahan itu semua merupakan tindakan merawat pesakit bukan satu penyelesaian.

“Saya harap semua rakyat Malaysia bantu KKM dalam mengekang penularan wabak Covid-19 dengan menjalani kuarantin kendiri,” katanya.

Mengulas mengenai hospital tidak menerima pesakit kritikal yang tidak mempunyai harapan sembuh, Noor Hisham berkata, pihaknya memberi keutamaan untuk merawat pesakit yang boleh diselamatkan.

“Perkara itu sudah lama dilaksanakan di mana kita akan merawat pesakit yang mempunyai harapan untuk sembuh,” kata Noor Hisham. – MalaysiaGazette