Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan kakitangan syarikat bekalan air dan pembetungan di bahagian operasi akan berjalan seperti biasa semasa pelaksaaan prosedur operasi standard (SOP) terhadap sektor ekonomi dalam pelaksanaan PKP 3.0 yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini kerana perkhidmatan bekalan air dan pembetungan adalah di bawah kategori penting, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Operasi yang dimaksudkan turut meliputi operasi di loji, penyelenggaraan rangkaian paip agihan, pengurusan NRW serta urusan membaca meter atau pengebilan.

Ia bagi memastikan bahawa perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan tidak terjejas dan diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walau bagaimanapun, setiap operator diwajibkan untuk memastikan semua warga kerja mereka mematuhi sepenuhnya SOP PKP yang ditetapkan oleh Kerajaan di dalam menjalankan tugasan masing-masing.

Manakala untuk warga yang bertugas di bahagian pentadbiran atau pengurusan, pengoperasian akan mematuhi saranan MKN iaitu jumlah kakitangan yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa adalah tidak lebih daripada 60 peratus untuk swasta dan 20 peratus untuk agensi kerajaan. – MalaysiaGazette