Abdul Hadi Awang PAS GE14 14th General Election Perikatan Nasional Islam Muslim
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Rusia dan China perlu mengambil alih peranan sebagai orang tengah dalam konflik perang Israel-Palestin menggantikan Amerika Syarikat (AS) yang jelas berpihak kepada rejim zionis.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Mesir, Iran dan Turki perlu membuat tekanan menolak AS menjadi pihak tengah.

“AS tidak layak jadi orang tengah dalam penyelesaian Palestin kerana negara ini tidak akan dudu di tengah, dia duduk di hujung. Dia bekal senjata, dia anggap Palestin sebagai pengganas, nak jadi orang tengah?

“Joe Biden (Presiden Amerika) ini walaupun pendekatan dia lain, saya anggap itu ‘dua wajah dalam satu Dollar’, sama saja pendekatan. Oleh sebab itu adalah lebih baik negara Islam membuat tekanan,” gesanya menerusi temubual Ruang Bicara Khas BERNAMA malam tadi.

Menurut Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, sejak sekian lama negara Islam ditekan, dibuli dan gagal berfungsi membela Palestin walaupun terdapat pelbagai inisiatif diusahakan di peringkat antarabangsa secara gabungan.

Pun demikian, katanya, Palestin diiktiraf sebagai negara dan boleh hadir ke Perhimpunan Forum Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta menubuhkan kedutaan di banyak negara di mana bantuan dapat disalurkan.

Malah, kata Ahli Parlimen Marang ini, pilihan raya dapat diadakan di Palestin disertai PLO dan Hamas, namun PLO yang berkuasa di Tebing Barat tetap dihalang dan disekat, manakala Hamas pula dianggap pengganas oleh Amerika.

“Akhirnya, Donald Trump (bekas Presiden Amerika) mengisytiharkan Baitul Maqdis ibu negara Israel. Ini sudah melanggar ‘two state solution’ kerana dalam dua negara itu Baitul Maqdis Timur adalah ibu negara Palestin, Israel dah langgar.

“Netanyahu yang jadi Perdana Menteri Israel telah bertindak apa yang dibuat oleh Biden dengan menyerang Baitul Maqdis dan menceroboh Masjidil al-Aqsa, menyentuh agama orang Islam dalam bulan Ramadan. Dia tak kira bulan Ramadan. Dia ceroboh, pelampau Yahudi masuk berlaku pertempuran.

“Ini mencetuskan kebangkitan Palestin. Bila dia sentuh ini menyebabkan kebangkitan orang Kristian bersama, termasuk Yahudi-yahudi juga menentang, Yahudi kalangan kiri, termasuk Yahudi Ortodok. Apabila berlaku kebangkitan ini, Netanyahu bertindak.

“Ahli Kongres Amerika kata tindakan Netanyahu tidak bijak. Bahkan dua Ahli Parlimen Israel pun tak setuju tindakan ini. Netanyahu bertindak agresif menyerang Gaza. Serang Gaza tujuannya ialah untuk ‘highlight’ HAMAS ialah pengganas, dengan Jihad Islami,” katanya yang dipetik Harakahdaily, hari ini.

Kata Abdul Hadi, Israel gagal mendapat kemenangan dari serangan darat yang dilancarkan mereka sehingga meminta gencatan senjata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kenapakah tak yakinkan Palestine ikut model Malaysia pro rakyat berbilang kaum dengan cara tendang keluar Singapore dari Malaysia kepada majority kaum asing dari Tanah Besar Cina dan India?

Comments are closed.