Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berkata amalan mencampur dan memadankan suntikan vaksin berbeza kepada orang ramai tidak boleh diputuskan oleh individu sebaliknya ia sepatutnya dibuat agensi awam bergantung kepada data sedia ada.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hanya bakal jemaah haji yang menerima suntikan vaksin Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Moderna sahaja yang dibenarkan menunaikan ibadah haji.

Pra-syarat wajib itu telah diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi bagi bakal jemaah yang berhasrat menunaikan ibadah tersebut pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sehubungan itu berkata, bermula Mac lalu, Tabung Haji telah menyarankan bakal jemaah haji Malaysia untuk mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahteraa atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.

“Bakal jemaah haji juga diminta bersedia untuk mengambil suntikan wajib vaksin meningococcal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli juga berkata kerajaan Malaysia akur dengan apa jua keputusan berkaitan kebenaran mengerjakan ibadah haji dan kuota jemaah haji negara oleh Kerajaan Arab Saudi kelak.

“Kerajaan Malaysia akan mengumumkan keputusannya kepada bakal jemaah haji sejurus selepas mendapat kenyataan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Buat masa ini, Zulkifli berkata kerajaan dan Tabung Haji (TH) masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim haji kali ini.

Kata Zulkifli lagi, TH sedang giat membuat persediaan operasi haji tanah air dan Tanah Suci sejak tahun lalu bagi memastikan kelancaran urusan bakal haji Malaysia pada tahun ini.

“Bagi operasi haji tanah air, persiapan awal telah diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan norma baharu di stesen berlepas semasa bakal haji melapor diri. Manakala di Tanah Suci, persiapan telah dilakukan di Makkah dan Madinah dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan dan sebagainya,” jelas Zulkifli.

Mengulas lanjut, Senator Dewan Negara itu juga menasihatkan bakal jemaah haji untuk bersabar dan membuat persiapan sebaiknya dari sudut ilmu, fizikal, spiritual dan semestinya mendaftar untuk pengambilan vaksin Covid-19 agar pelaksanaan ibadah ibadah haji di Tanah Suci kelak berjalan lancar.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak Covid-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.

Perkara itu dipersetujui oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman, dalam pertemuan di Istana Al Yamamah ketika sesi lawatan rasmi Muhyiddin ke Arab Saudi pada Mac lalu.

Mengikut laman web TH, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600. – MalaysiaGazette