18 Pati warga Indonesia ditangkap ATM dan diserahkan kepada polis IPD Lundu, Sarawak untuk tindakan. - Gambar ihsan ATM

KUALA LUMPUR – Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap anggota tentera dalam Op Benteng di Kampung Kandaie, Lundu, dekat Sarawak, petang semalam.

Sel Perhubungan Raya, Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, semua mereka ditangkap ketika berada di negara ini, iaitu kira-kira dua kilometer dari sempadan antarabangsa Malaysia-Indonesia.

Katanya, PATI yang ditangkap  menerusi operasi SERKAP oleh anggota tentera dari Formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dipercayai masuk  untuk mencari pekerjaan.

“Dalam operasi itu juga, anggota tentera turut menahan tiga warga tempatan termasuk seorang wanita, dipercayai tekong darat serta merampas sebuah motosikal dan lori.

“Lori itu dipandu dua tekong darat untuk tujuan menyeludup masuk kumpulan 18 PATI berkenaan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Hasil siasatan mendapati seorang dari tekong darat itu, yang menunggang motosikal bertindak sebagai pemerhati bagi memastikan lorong tikus tersebut selamat sebelum lori yang membawa PATI berkenaan melaluinya.

Semua PATI yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 49 tahun.

Manakala tekong darat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast