KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya duduk di rumah sepanjang wabak Covid-19 melanda negara ini.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, data dari John Hopkins University pada Jumaat lalu menunjukkan kes jangkitan yang menyerang rakyat negara ini hampir menyaingi kes di India.
“Berkenaan dengan kes jangkitan Covid-19 per 1 juta penduduk Malaysia yang disahkan secara kumulatif selama seminggu, kita seperti sudah nak bersaing dengan India.
“Maka, tolong duduk di rumah sekiranya tiada urusan di luar,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.
Dalam kenyataan harian Ketua Pengarah Kesihatan semalam, angka kes positif Covid-19 terus menunjukkan peningkatan dengan hampir mencecah angka 7,000 kes apabila merekodkan sebanyak 6,976 kes setakat jam 12 tengah hari kelmarin.
Menurut Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini bertambah kepada 512,091 kes.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Bicara Khas di TV1 malam tadi, turut memberikan nasihat yang sama, iaitu meminta rakyat mematuhi SP dengan berada di rumah.
Beliau dilaporkan berkata, tidak ada gunanya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sekiranya rakyat tidak mematuhi SOP. – MalaysiaGazette
















