Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

KUALA LUMPUR – Polis dalam proses akhir melengkapkan kertas siasatan kes rogol yang dikaitkan dengan seorang rakan kenalan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia pada Disember tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan yang lengkap itu  akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) secepat mungkin.

“Kita dalam proses melengkapkan kertas siasatan kes itu (rakan ADUN rogol wanita) yang mana di fasa akhir.

“Kertas siasatan itu akan dirujuk kepada DPP esok atau minggu ini sebelum Jumaat,” katanya dalam sidang media khas kejayaan IPD Dang Wangi menumpaskan sindiket judi haram didalangi Datuk Seri tengahari tadi.

Pada 7 Disember lalu, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa dia telah menjadi mangsa rogol seorang rakan ADUN Gombak Setia.

Polis yang bertindak atas laporan itu berjaya menahan dua suspek disyaki terlibat dalam insiden tersebut pada keesokan harinya.

Kedua-dua individu itu telah dirakam keterangan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis bagi melengkapkan kertas siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan setakat ini kurang 10 orang individu telah dipanggil sebagai saksi dan diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan itu.-MalaysiaGazette