Tan Sri Muhyiddin Yassin Covid-19 pandemic
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa agama di negara ini digesa memainkan peranan yang lebih dalam mempromosikan kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak  itu perlu memperbanyakkan program kesedaran masyarakat mengenai kelebihan mengambil vaksin seiring dengan langkah kerajan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Saya tegaskan usaha mempromosikan galakan pengambilan imunisasi ini seharusnya tidak terhad kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri sahaja memandangkan masih ramai dalam kalangan masyarakat umum tidak mendapat maklumat tepat mengenai keperluan mengambil vaksin.

“Saya berharap masyarakat mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya bahawa keputusan Kerajaan dalam isu vaksin adalah berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, bahawa hukum mengenai penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, ketetapan itu dibuat selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Ke-68, pagi ini.

Mesyuarat yang diadakan secara persidangan video ini dihadiri oleh ketua-ketua kerajaan negeri serta ahli-ahli lantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, adalah menjadi kepentingan buat semua pihak berkuasa agama agar dapat mengoptimumkan usaha meningkatkan kesedaran mengenai vaksin Covid-19.

“Saya berharap pihak berkuasa agama menggunakan semua platform yang ada menguar-uarkan berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan bagi memastikan kadar peningkatan kes harian pandemik ini menjadi semakin tidak terkawal sebagaimana di beberapa negara lain,” seru Muhyiddin lagi.

Setakat semalam, 2.342 juta dos telah disuntik kepada penduduk negara ini dengan 1.471 juga daripadanya adalah dos pertama dan 871,051 adalah dos kedua.

Kuala Lumpur merekodkan suntikan tertinggi dengan 218,383 untuk dos pertama dan 88,089 bagi dos kedua, diikuti Selangor dengan 194,664 bagi dos pertama dan 117,920  dos kedua. – MalaysiaGazette