Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima Sub-zon dalam Wilayah Persekutuan Labuan yang berstatus Jingga dan Merah akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 26 Mei hingga 24 Jun 2021.

Menurut Menteri Kanan (Keselmatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kadar kebolehjangkitan bagi Wilayah Persekutuan itu kini adalah 2.55.

Situasi ini ujar beliau, memberi risiko berlaku jangkitan dengan skala yang lebih besar di kawasan itu.

Dua lagi lokaliti di Putatan Sabah iaitu Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau juga akan dilaksanakan PKPD.

Ujar Ismail menerusi kenyataan, PKPD di dua lokaliti itu akan bermula pada 26 Mei hingga 8 Jun 2021.

Turut dilaksanakan PKPD untuk tempoh yang sama adalah di Ladang FELDA Global Ventures (FGV) Kalabakan Selatan, Kalabakan dan Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah.

Sementara itu Ismail berkata, sebanyak tiga mukim dalam daerah Lipis akan dilaksanakan PKPD, juga untuk tempoh yang sama.

Kawasan yang terlibat adalah Mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu.

“Sehingga kini, Mukim Budu mencatatkan 51 kes positif, Mukim Kuala Lipis 24 dan Mukim Penjom 57 menjadikan keseluruhan kes dikesan daripada ketiga-tiga mukim ini adalah sebanyak 132 kes dalam tempoh 24 hari dari 1 Mei hingga 24 Mei 2021 daripada keseluruhan 938 yang disaring,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PKPD Felda Kahang Timur, Kluang, Johor yang sepatutnya tamat 25 Mei ini dilanjutkan sehingga 8 Jun 2021 ekoran masih berlaku tren penularan dalam komuniti berkenaan.

PKPD di Felda Umas, Kalabakan, Sabah dan Kampung Bako Hilir, Kuching, Sarawak Kampung Bako Hilir pula akan tamat seperti yang dijadualkan iaitu, 25 Mei ini.-MalaysiaGazette