KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan tujuh Langkah tambahan akan dilaksanakan di bawah Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 bermula awal Jun ini.
Ketika mengumumkan perkara itu, Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, antara yang menjadi tumpuan kementerian beliau ialah tumpuan program vaksinasi di kalangan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Kata beliau, tujuh inisiatif itu ialah program ujian saringan secara percuma, proses vaksinasi kepada warga Kuala Lumpur, memberi vaksin kepada gelandangan, khidmat tuisyen percuma secara atas talian, inisiatif wilayah bebas berniaga, program usahawan kota dan pendekatan KL Watch.
Beliau menyatakan, kementeriannya terpaksa meningkatkan usaha itu bagi memastikan usaha kerajaan mengekang, sekali gus mengurangkan penularan virus Covid-19 dapat dilandaikan dengan jayanya.
“Kita tengok trend sekarang sangat membimbangkan, lebih lagi wabak ini dengan tidak disedari. Ini termasuklah kisah tragis yang menimpa pada keluarga seorang anggota polis yang kehilangan ibu, ayah dan seorang adiknya sekali gus akibat jangkitan Covid-19.
“Saya selalu tekankan kepada orang ramai terutama warga Kuala Lumpur agar patuhi SOP, kerana kita bimbang ia akan berlaku dan menimpa kita tanpa disedari.
“Justeru, dengan tujuh inisiatif baharu yang akan dilaksanakan ini, kita mengharapkan dapat membantu kerajaan mengurangkan kes positif,” katanya menerusi siaran langsung Facebooknya, hari ini.
Annuar berkata, memandangkan dua kawasan perumahan dalam wilayah itu, iaitu Lembah Pantai dan Taman Perumahan Parlimen Batu diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kementeriannya mengambil inisiatif program ujian saringan secara percuma kepada penduduk.
Katanya, program saringan itu menggunakan kaedah RTK-Antigen yang dilakukan secara percuma dan bersasar ke atas warga Kuala Lumpur.
“Mereka tidak perlu bayar apa-apa kos untuk ujian ini. Ia akan diuruskan oleh kementerian saya dengan sokongan pihak swasta. Ujian ini untuk 20,000 orang pertama dan bermula pada 1 Jun ini.
“Program ini akan diadakan dengan kerjasama doktor tauliah serta sukarelawan dengan mengikut jadual tertentu, dan keutamaan diberikan di kawasan perumahan awam, PPR, kampung tradisi dengan tumpuan adalah warga emas serta kumpulan rentan.
“Kita tidak paksa sesiapa wajib menjalani ujian ini, tetapi kita harapkan mereka dapat tampil secara sukarela kerana melalui kaedah RTK-Antigen ini kita dapat kenal pasti kes positif dan ambil langkah susulan untuk kuarantin,” katanya.
Annuar juga berkata, menerusi tujuh inisiatif tambahan itu, kementerian telah berbincang dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin supaya proses vaksinasi diberi keutamaan kepada warga Kuala Lumpur di kawasan hotspot.
Katanya, menteri itu pada dasarnya bersetuju dan menyambut baik rancangan untuk menyasarkan dalam tempoh lima bulan menjelang Oktober ini semua warga Kuala Lumpur akan mendapat suntikan vaksin
“Dengan ini, saya menyeru mana-mana warga KL yang belum daftar, terus mendaftar, selain kita menggerakkan usaha untuk mendaftarkan nama dari lokasi ke lokasi secara berjadual.
“Mengikut data kita, terdapat lebih 70 lokasi melibatkan taman perumahan yang sudah dikenal pasti dan akan disusun mengikut zon bagi memudahkan logistik kita menjalankan tugas,” katanya.
Beliau turut menyatakan, inisiatif lain ialah memastikan semua 251 gelandangan yang ditempatkan di tiga pusat gelandangan di ibu kota akan mendapat suntikan vaksin.
Ujarnya, proses vaksinasi ke atas mereka bermula 27 Mei ini melibatkan 119 gelandangan yang tinggal di Anjung Singgah dan Pusat Kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Pasukan doktor akan datang ke pusat gelandangan ini untuk melakukan suntikan. Ini termasuk 132 lagi gelandangan yang ditempatkan di beberapa transit.
“Sebelum itu, mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 dan perlu menunggu 14 hari sebelum ujian saringan kedua dilakukan. Selesai ujian ini, mereka akan diberikan vaksinasi,” katanya. – MalaysiaGazette
















