Muhammad Dharma Raj Abdullah.

KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025.

Perkembangan itu disahkan Muhammad Dharma sendiri selepas pertemuan bersama Federasi Hoki Indonesia, sekali gus menyaksikan beliau akan melepaskan jawatan Pengarah Teknikal Hoki Wilayah Jawa Barat yang disandangnya sejak 10 bulan lalu.

Muhammad Dharma, 51, yang memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan terutama sewaktu membimbing skuad wanita kebangsaan, akan memulakan tugas baharu beliau itu pada 1 Jun.

Katanya, antara tugas utama terawal beliau ialah mengumpulkan barisan pemain hoki padang dan hoki dalam dewan terbaik dari seluruh Indonesia bagi membentuk sebuah pasukan mantap yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Muhammad Dharma berkata, dua pertandingan antarabangsa iaitu Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2021 dijadualkan berlangsung di Thailand pada November dan saingan Piala Persekutuan Hoki Asia (AHF) di Indonesia pada Disember, menjadi medan terawal menguji keberkesanan perancangan beliau itu.

Muhammad Dharma turut diberikan tanggungjawab membentuk sebuah pasukan projek dibarisi pemain awal usia dalam misi menyediakan sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran di peringkat global menjelang 2032.

Muhammad Dharma antara jurulatih hoki kebangsaan yang kontraknya bersama Konfederasi Hoki Malaysia tamat pada Disember 2019 sebelum memutuskan tidak memohon semula jawatan tersebut dan seterusnya membawa haluan ke Indonesia.

Antara kejayaan diraih Muhammad Dharma bersama skuad Malaysian Tigress ialah merangkul pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain mencipta sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia dan menduduki tempat kelima pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang. – MalaysiaGazette