Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Seorang gadis yang menjadi mangsa rogol dan hamba seks teman lelakinya sehingga mengandung dalam kejadian pada Disember tahun lalu telah melahirkan anak baru-baru ini.

Mangsa berusia 21 tahun itu selamat melahirkan bayi lelaki awal Mei ini dan kedua-dua ibu serta anaknya dilaporkan sihat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis mengikuti perkembangan siasatan kes itu selepas suspek yang berusia 23 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu mangsa melahirkan bayi.

Kelahiran itu membolehkan polis melakukan padanan ujian asid deoksiribonukleik DNA.

“Dalam perkembangan terbaharu kes ini, mangsa gadis itu berjaya melahirkan anak lelaki pada 19 Mei lalu di sebuah hospital di sini.

“Polis telah menemui mangsa dan memantau keadaan ibu dan anak itu sebelum selesai mengambil sampel DNA bayi itu,” katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Artikel berkaitan: Teman lelaki rakam video seks untuk ugut kekasih

Tambah Mohamad Fakhrudin, sampel DNA yang diperoleh daripada bayi dengan keizinan ahli keluarga khususnya mangsa rogol telah dihantar kepada makmal Jabatan Kimia pada 20 Mei lalu.

DNA suspek yang kini bebas dengan jaminan polis itu juga telah diambil dan dirujuk kepada makmal kimia.

“Padanan DNA bayi dengan suspek akan dibuat untuk menentukan dan mengesahkan bayi kitu hasil hubungan suspek dengan mangsa.

“Apabila keputusannya diperoleh nanti, polis akan melengkapkan kertas siasatan dan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Dalam laporannya, mangsa mendakwa dia bukan sahaja dijadikan hamba seks, tetapi setiap kali menjalinkan hubungan, teman lelakinya bertindak merakamnya.

Rakaman itu kemudian dijadikan bahan ugutan jika mangsa enggan menuruti kehendak seksnya.

Gadis itu mendakwa menjadi hamba seks kepada teman lelakinya sejak Jun 2020 dan kali terakhir pada 3 Disember lalu di salah sebuah hotel di Petaling Jaya.

Suspek kemudian telah direman enam hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis  sementara menunggu mangsa melahirkan anak untuk mendapatkan DNA sebagai membuktikan jenayah suspek itu.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.