ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

PETALING JAYA – Tidak tahan dijadikan hamba seks oleh teman lelakinya, seorang gadis akhirnya bertindak melaporkan kejadian itu kepada polis.

Laporan polis itu didorong selepas mendapati dirinya mengandung.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, gadis itu bukan sahaja dijadikan hamba seks, tetapi setiap kali menjalinkan hubungan, teman lelakinya bertindak merakamkan hubungan mereka.

Rakaman ranjang itu kemudian dijadikan bahan ugutan jika mangsa enggan menuruti kehendak seksnya.

Nik Ezanee berkata, gadis itu mendakwa menjadi hamba seks kepada teman lelakinya sejak Jun 2020 dan kali terakhir pada 3 Disember lalu di salah sebuah hotel di Petaling Jaya.

“Dalam laporan yang dibuat, mangsa memberitahu teman lelakinya beberapa kali merakam video hubungan seks menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Suspek mendakwa teman lelakinya mengugut akan menyebarkan rakaman itu kepada ahli keluarga mangsa, jika dia enggan melakukan hubungan seks,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan mangsa, polis telah membuat tangkapan ke atas lelaki warga tempatan berumur 23 tahun di kawasan Kota Damansara semalam.

Suspek kini direman selama enam hari dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Nik Ezanee menasihatkan gadis-gadis yang masih di bawah umur agar tidak mempercayai sebarang pujuk rayu dan janji manis seorang lelaki.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan dan kebebasan pergaulan anak-anak.-MalaysiaGazette