Kulit kepala seorang wanita yang koyak akibat diserang lotong pada 21 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah menembak 20 ekor spesies lotong di kawasan Kuarters Pendidikan Seri Sentosa, Batu 2 1/2 Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 19 Mei lalu.

Sebaliknya menerusi satu kenyataan hari ini, Jabatan Perhilitan memberitahu hanya tujuh ekor Lotong Cengkong yang ganas dilupuskan secara kaedah penakaian atau ‘culling’.

Ia susulan lapan aduan berulang berkaitan serangan dan gangguan Lotong Cengkong di kawasan terbabit yang berlaku sejak awal tahun ini membabitkan tiga kes ke atas orang awam sehingga mendatangkan kecederaan serius.

“Kesemua tujuh ekor lotong yang dilupuskan adalah lotong dewasa sahaja yang tidak melibatkan juvenil.

“Jabatan Perhilitan telah menguruskan bangkai lotong tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Oleh itu gambar lotong mati di atas pokok yang ditularkan dipercayai diambil sebelum keseluruhan operasi ini selesai sepenuhnya.

“Tiada sebarang unsur kekasaran oleh kakitangan jabatan terhadap pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan jabatan seperti yang ditularkan di media sosial,” kata kenyataan itu.

Menurut Jabatan Perhilitan, kumpulan lotong yang dilupuskan adalah lotong yang bertindak ganas dan sering mengganggu penduduk dan bukannya jinak seperti yang didakwa.

Kenyataan itu turut memaklumkan pesisiran pantai Batu 2 sehingga Batu 11, Port Dickson merupakan kawasan lotong liar berkeliaran yang dianggarkan kira-kira 140 hingga 160 ekor terdiri daripada empat kumpulan lotong.

“Terdapat gambar dua unit kelongsong peluru yang ditunjukkan di dalam media sosial adalah dipercayai dikutip dari kawasan belukar atau semak selepas operasi dijalankan sebelum sempat dikutip oleh pihak jabatan.

“Berdasarkan SOP, selepas operasi rutin dilaksanakan, anggota Perhilitan akan bertindak mengutip dan mengumpulkan kesemua kelongsong peluru,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Perhilitan berkata, kes kecederaan paling serius akibat serangan lotong ini telah berlaku pada 21 Januari lalu, yang mana seorang mangsa wanita cedera parah diserang serta digigit oleh lotong pada bahagian kepala.

“Ia menyebabkan kulit kepala mangsa terkoyak sehingga mangsa dimasukkan ke Hospital Port Dickson.

“Untuk memastikan lokasi kejadian ini selamat daripada serangan lotong, Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan telah menjalankan operasi menghalau serta operasi tangkap dan pindah Lotong Cengkong.

“Namun kumpulan lotong ganas ini tidak berjaya ditangkap kerana penggunaan perangkap di kawasan tersebut didapati tidak berkesan.

“Oleh itu, tindakan pelupusan atau penakaian lotong ini adalah kaedah terbaik bagi menangani konflik hidupan liar di kawasan tersebut,” ujarnya.

Jelas jabatan itu lagi, tindakan yang diambil dalam operasi kawalan konflik ini juga mematuhi peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] iaitu Seksyen 52(a).

“Sehubungan itu, orang ramai adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan spesies lotong di kawasan ini.

“Sebarang aduan dan maklumat berkenaan gangguan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya. – MalaysiaGazette