Orang awam menunggu untuk menaiki LRT selepas kapasiti penumpang semua pengangkutan awam dihadkan 50 peratus dengan kekerapan akan dikurangkan bagi mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – “Allah lindungi saya,” luah Nurzila Mohd Ridzuan, 27, yang merupakan pengguna tetap perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Menurut Nurzila yang ditemui MalaysiaGazette, dia memilih untuk menaiki trenĀ  lebih awal iaitu kira-kira 7.30 malam semalam untuk pulang dari kerja ke Dato’ Keramat.

Katanya, dia hanya mengetahui berkenaan insiden itu apabila ditanya kakaknya yang risau jika tren yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan kira-kira 8.40 malam itu.

Nurliza Mohd Ridzuan, Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

Ditanya jika insiden melibatkan dua tren Rapid KL itu menimbulkan rasa gentar untuk terus menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut, Nurzila hanya berfikiran positif dan tawakal kepada takdir Allah.

“Rasa takut, berdebar juga sebab kita memang naik LRT untuk ke tempat kerja. Tadi pun takut juga nak naik tren. Tapi tawakal dan postitif sahaja,” kata Nurzila.

Berdasarkan tinjauan MalaysiaGazette di Stesen LRT KLCC pada waktu puncak pengguna bergegas ke tempat kerja mendapati masih ramai yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan LRT.

Namun, disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat hari ini, bilangan penumpang bagi sesebuah kenderaan awam dihadkan kepada kapasiti 50 peratus sahaja menyebabkan ada segelintir pengguna yang terkesan.

Roslida Mamat. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

Bagi Roslida Mamat, 48, yang menggunakan perkhidmatan LRT dari Pasar Seni pula, dia terpaksa menunggu satu jam untuk menaiki tren menuju KLCC dan tidak mengetahui tentang lima buah bas perantara yang disediakan Prasarana sebagai alternatif untuk pengguna.

“Selalunya daripada Kajang ke KLCC naik tren di Pasar Seni, ambil masa 45 minit, tapi hari ini menunggu di Pasar Seni sahaja mengambil masa sejam”, luahnya.

Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa bermula jam 6 pagi tadi namun kini hanya menggunakan satu landasan dijangka untuk tempoh tiga hari. – MalaysiaGazette