Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Dr Wan Muhamad Hasni Wan Sulaiman pada sidang media selepas pelancaran Program Strategi Pasca Covid-19 secara maya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Harapan Pembangkang mewujudkan data mobiliti ‘Data For Good‘ bagi menambah baik unjuran maklumat berhubung kes Covid-19 yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penaung Program Strategi Pasca Covid-19, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, data yang dibangunkan itu mampu melengkapi unjuran data pihak KKM dalam mengesan kes-kes positif Covid-19 di kawasan-kawasan tertentu.

“Tugas kita bukan untuk mengkritik tapi memperbaiki dan melengkapi usaha mereka (KKM).

“Mereka buat unjuran itu betul tapi dia buat unjuran itu gambaran umum…bukan data yang jelas berapa jumlah yang bergerak (pergerakan orang ramai),” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu , daripada data mobiliti itu juga pimpinan negara boleh membuat unjuran bukan sahaja oleh Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebaliknya, ia boleh menjadi dasar negara dalam menjangka apa yang akan berlaku bagi tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif Program Strategi Pasca Covid, Dr Wan Muhamad Hasni Wan Sulaiman berkata, data yang dibangunkan itu bukanlah bertujuan untuk membuat perbandingan antara data yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tetapi data yang dibangunkan itu untuk menterjemahkan bagaimana tindakan boleh diambil bagi membendung penularan wabak tersebut untuk tempoh dua minggu akan datang.

“Betul saya tidak merasa sangsi dengan apa yang dibuat oleh phak KKM…data for good ini  bagaimana kita menterjemahkan data tersebut kepada makna yang sama supaya tindakan dapat diambil kepada orang ramai…Sebab itu ia dinamakan data for good.

“Bukan kita nak berdebat tentang data lebih tepat dan lagi sahih..yang kita nak buat adalah dapat kesamaan pandangan supaya masyarakat semua boleh lihat daripada data tersebut apa tindakan yang patut mereka buat,” ujarnya.

Wan Muhamad Hasni berkata, daripada data itu juga maklumat boleh disampaikan kepada orang ramai agar mereka mengurangkan pergerakan supaya kes Covid-19 tidak terus melonjak.

Maklumat seperti itu katanya, tidak pernah diberitahu kepada umum sebaliknya, pengumuman hanya dibuat bahawa kes akan meningkat.

Justeru katanya, data yang dibuat boleh membantu dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai sekaligus dapat membantu pihak-pihak yang berkenaan dalam menangani penularan wabak tersebut daripada terus merebak.

Terdahulu, Anwar melancarkan program tersebut yang disaksikan pengamal menerusi aplikasi zoom dan turut disiarkan secara langsung di Facebook Anwar yang juga Presiden PKR.

Program itu merupakan satu langkah bagi membantu pihak-pihak berkenaan  memperkemas maklumat dan menyalurkannya kepada rakyat agar mereka dapat memahami situasi terkini, sekaligus membantu mengakhiri pandemik yang  mengorbankan ribuan nyawa di negara ini. – MalaysiaGazette