Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menjelaskan bahawa ‘faktor manusia’ hanyalah salah satu aspek dalam siasatan kemalangan membabitkan dua buah tren LRT Kelana Jaya dua hari lalu kerana banyak lagi faktor keseluruhan teknikal dan operasi turut diteliti.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan orang yang diketuai oleh Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak telah memulakan siasatan daripada pelbagai aspek, termasuk berkaitan kecuaian manusia.

”Kami juga ingin menegaskan bahawa salah seorang kakitangan (hostler) yang terlibat dalam kejadian tersebut juga telah disahkan negatif dadah oleh Polis
Diraja Malaysia (PDRM) pada 25 Mei 2021.

”Individu tersebut wajar diberi hak bagi memudahkan siasatan tanpa rumusan awal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh itu, Ka Siong dan Jawatankuasa Siasatan menggesa orang ramai agar bersabar dan tidak mensensasikan sesuatu berita tidak tepat serta memberikan ruang kepada Jawatankuasa Siasatan melakukan siasatan mengikut tertib.

Jelasnya, siasatan akan terus dilakukan untuk melihat bagaimana dan mengapa halangan keselamatan dilanggar sehingga menyebabkan insiden tersebut berlaku, serta memberi cadangan keselamatan sepenuhnya untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Keselamatan sistem pengangkutan LRT sebagai kepentingan awam tidak boleh dikompromi, oleh itu, aspek keselamatan mesti menjadi perkara utama, ujar beliau lagi.

Tambah Ka Siong, jawatankuasa siasatan juga akan meminta pandangan pihak luar yang memiliki kepakaran masing-masing supaya dapat membantu melengkapkan laporan akhir

Dalam kenyataan itu, Ka Siong turut memuji Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memberi penjagaan perubatan yang sangat baik kepada penumpang-penumpang tren yang cedera.

Seramai 67 mangsa dirawat di HKL, yang mana 61 orang telah discaj.

Pada masa ini, enam orang masih dalam rawatan dengan tiga orang di bawah zon kritikal.

”Kami sekali lagi melahirkan rasa simpati terhadap para mangsa dan keluarga mangsa serta mendoakan agar mangsa segera sembuh. MOT akan terus
berhubung dengan pihak hospital untuk mendapatkan perkembangan mangsa,” kata beliau. – MalaysiaGazette