Penghantar makanan melintasi kawad berduri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Batu Muda Tambahan, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK 23 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Beberapa lagi kawasan di seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) bagi menghalang pergerakan serta mengelak jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

Antara kawasan yang terlibat adalah Mukim Parit Buntar, Kerian, Perak; Pangsapuri Permai dan Pangsapuri Sri Penara di Cheras; Taman Dato’ Tengku Paris dan FELDA Tersang 1,2 & 3, Mukim Batu Talam, Raub Pahang; Mukim dalam daerah Temerloh dan perkampungan dalam daerah Kunak, Sabah.

Kawasan-kawasan lain Kampung Pirasan Ulu, Kota Belud, Sabah serta beberapa lokaliti dalam daerah Tawau, Sabah.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu berkuatkuasa Jumaat ini.

“Keputusan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, terdapat peningkatan kes di kawasan-kawasan yang bakal dikenakan PKPD dan disebabkan itu jawatankuasa terbabit membuat ketetapan seperti itu.

Tambahnya, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk menghalang pergerakan serta
mengelak jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

Bagaimanapun jelas beliau, SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang
MKN di www.mkn.gov.my. – MalaysiaGazette