Muhd Arshad (depan) berbual dengan peniaga burger di Batu Lanchang, Pulau Pinang di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Tempoh perniagaan singkat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diperketatkan menyebabkan pendapatan penjaja kecil khususnya yang membuka perniagaan di sebelah petang terjejas.

Bagi meringankan beban golongan tersebut, Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang memperuntukkan RM10,000 sebagai inisiatif membeli barangan jualan mereka untuk diedarkan kepada orang ramai.

Presidennya, Muhd Arshad Abdul Rahman berkata, langkah itu dibuat pihaknya bagi memastikan golongan peniaga kecil itu tidak gulung tikar susulan pandemik Covid-19 yang sudah lebih setahun membelenggu negara.

Muhd Arshad.

“Ini juga merupakan satu sokongan kepada penjaja kecil yang membuka perniagaan di sebelah petang khususnya peniaga burger kerana waktu peniagaan yang singkat sudah semestinya menjejaskan pendapatan mereka.

“Sebagai permulaan inisiatif ini, sebanyak 100 biji burger dibeli dari seorang peniaga untuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai yang singgah di gerai itu.

“Langkah ini bukan saja membantu peniaga malah orang awam turut dapat menikmati makanan secara percuma tanpa mengira bangsa dan status,” katanya ketika ditemui di sebuah gerai burger di Batu Lanchang di sini hari ini.

Muhd Arshad (depan)membeli 100 biji burger untuk diedarkan secara percuma kepada orang ramai.

Mengulas lanjut, Muhd Arshad berkata, pembelian barang jualan daripada penjaja kecil itu akan diteruskan sepanjang pelaksanaan PKP diperketatkan.

“Hari ini kita bantu peniaga burger, mungkin esok peniaga apam balik, tosei dan lain-lain sehingga kerajaan panjangkan semula waktu operasi perniagaan atau PKP ditamatkan,” ujar nya.

Sementara itu, penjual ‘Burger Mat’ di Batu Lanchang meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas inisiatif dilakukan Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang kepada penjaja kecil.

Noor Ahmad.

Noor Ahmad Abdul Wahab,52, berkata, dia dan keluarga bergantung pendapatan sepenuhnya dengan penjualan burger dan pengumuman kerajaan berhubung singkatan waktu operasi peniagaan memberi kesan kepada mereka sekeluarga.

“Selalunya saya mula perniagaan pada jam 5 petang hingga lewat pagi, namun kini terpaksa buka awal untuk memastikan ada pendapatan.

“Bagaimanapun sebagai rakyat, saya terpaksa akur dengan keputusan kerajaan yang berusaha memastikan rantaian Covid-19 diputuskan,” kata Noor Ahmad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast