Antara remaja yang ditahan kerana melanggar SOP berkumpul beramai-ramai di sebuah pangsapuri di Jalan Tanjung Puteri.

JOHOR BAHRU – Seramai 30 individu yang sanggup menyewa sebuah rumah pangsapuri untuk mereka  berkumpul bersama rakan-rakan di dua lokasi berasingan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitiri dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd Zain dalam kenyataan berkata, kesemua mereka yang ditahan pada pukul 12.15 tengah malam tadi di pangsapuri Jalan Tanjung Puteri dan Persiaran Jaya Putra, Taman Jaya Putra, dekat sini.

“Tindakan itu menyebabkan kesemua mereka dikenakan kompaun keseluruhan sebanyak RM45,000,” katanya di sini.

Mereka yang ditahan itu terdiri daripada 19 lelaki dan 11 wanita dalam lingkungan umur 16 hingga 29 tahun.

Ketika serbuan dibuat, mereka didapati berkumpul di ruang tamu tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Mereka yang ditahan dikenakan kompaun di bawah Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 2) 2021 kerana melanggar syarat dan tiada penjarakkan sosial, katanya.- Malaysiagazette