Tempahan 1 juta vaksin AstraZeneca untuk pendaftaran dalam talian telah ditutup tidak sampai satu setengah jam selepas dibuka bermula jam 12 tengah hari tadi di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sistem pendaftaran tempahan pusingan kedua vaksin AstraZeneca secara dalam talian didakwa mempunyai terlalu banyak kecacatan walaupun kos pembangunan sistem ini adalah sekitar RM 70 juta.

Sedangkan, peruntukan ini melibatkan Integrasi Data dan Sistem Janji Temu dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijelaskan sebelum ini antara lain bagi memudahkan proses pendaftaran penerima vaksin.

Lantaran itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu memberikan penjelasan berhubung kelemahan sistem ini yang sangat tidak mesra pengguna dan terkebelakang umpama sistem lapuk Windows era 90an.

Shahir Adnan

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, akibat kelemahan itu ramai pengguna terpaksa menekan butan pengesahan “bukan robot” berpuluh-puluh kali ketika mahu membuat pendaftaran.

Ada juga yang telah dilarang atau “block” daripada laman sesawang tersebut secara tiba-tiba.

”Ramai anak muda yang terpaksa memilih setiap hari dan menghantar pendaftaran secara satu-satu untuk tempoh Jun dan Julai kerana sistem yang tidak efisen.

Malangnya, walaupun telah mencuba nasib untuk memilih setiap hari selama berpuluh-puluh hari, pendaftaran masih gagal,” dakwanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, bayangkan betapa hampanya ramai anak muda yang gagal mendaftar kerana sistem tidak efisen walaupun hampir sejam mereka cuba nasib, malangnya masih tidak dapat mendaftar kerana masalah sistem pendaftaran.

Sekiranya 1 juta anak muda meluangkan masa selama 1 jam dari pukul 12 tengah hari tadi untuk mendaftar, maka kerajaan telah membazirkan masa “1 million manhour” anak muda hari ini.

Sehubungan itu, beliau mahu kesilapan ini perlu diperbetulkan dengan segera.

Walau bagaimanapun, beliau mengucapkan tahniah atas semangat anak muda yang mahu diri divaksin dek pandemik yang makin mengganas.

”Kita juga berharap rakyat Malaysia di negeri-negeri lain untuk mengambil vaksin seperti yang ditetapkan agar pandemik ini dapat dibendung dengan segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast