Penduduk setempat yang beratur panjang untuk menerima ujian saringan Covid-19 peringkat DUN Paya Jaras secara percuma yang dilakukan oleh petugas Kesihatan Sel Care Selangor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2021.

SUNGAI BULOH – Ketakutan orang ramai terhadap saringan Covid-19 yang dikatakan menyakitkan hingga mengalir air mata bukan lagi penghalang untuk penduduk Paya Jaras menjalani ujian kesihatan itu.

Tidak hairanlah apabila orang ramai sanggup beratur sepanjang 200 meter di bahu jalan menghala ke Dewan MBSA Seri Pagi, di sini bagi mendapatkan ujian saringan Covid-19 secara percuma hari ini.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 23 MBSA, Mariam Abdul Rashid berkata, ini menunjukkan kesedaran orang ramai untuk membuat saringan itu semakin tinggi bagi memastikan diri mereka tidak dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

Mariam Abdul Rashid

“Kita dapat lihat kesedaran masyarakat khususnya orang Melayu untuk melakukan saringan semakin bertambah.

“Selama ini ada perasaan takut, atau dengar berita yang tular menyebabkan mereka rasa ketakutan.

“Alhamdulillah, setelah berbelas Dewan Negeri (DUN) melaksanakan saringan ini, nampaknya kesedaran masyarakat itu sudah bermula.

“Malah usaha untuk membanteras penularan Covid-19 ini semakin meningkat,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, di sini, hari ini.

Penduduk DUN Paya Jaras sedang menunggu giliran untuk ujian saringan Covid-19 secara percuma yang dilakukan oleh petugas Kesihatan Sel Care Selangor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2021.

Dalam pada itu, beliau meletakkan keyakinan jumlah positif Covid-19 di Selangor akan menurun sebaik sahaja program saringan Covid-19 ini berakhir pada hujung bulan ini.

“Saya sangat yakin bila habis program hujung bulan ini, setelah adanya pengasingan mereka yang positif itu, kes-kes di Selangor mungkin boleh menurun.

“Saya nampak Task Force Covid-19 Selangor dengan inisiatif yang ada ini agak sistematik dalam mengesan mereka yang positif.

“Kita tak tahu dalam kelompok masyarakat masih ada yang tak berani keluar (buat saringan) sebab mutakhir ini tiada gejala tapi mereka sebenarnya positif Covid-19,” katanya.

Katanya, orang ramai masih mempunyai masa untuk mendaftar dengan sistem SELangkah bagi membolehkan mereka membuat saringan Covid-19 secara percuma.

Orang ramai yang diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan untuk menerima ujian saringan Covid-19 peringkat DUN Paya Jaras secara percuma yang dilakukan oleh petugas Kesihatan Sel Care Selangor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2021.

“Mereka yang belum mendaftar dengan SELangkah masih ada kesempatan lagi untuk mendaftar.

“Bagi warga emas yang tiada anak tolong daftar, boleh datang terus ke sini (pusat saringan komuniti) walk-in ada petugas kita boleh daftarkan,” katanya.

Katanya lagi, inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini sewajarnya diikuti negeri-negeri lain dalam memutuskan rantaian Covid-19 dalam komuniti dengan lebih berkesan.

“Di Korea, hampir 80 peratus rakyatnya telah dibuat saringan sebegini.

“Selepas ini mungkin ada saringan rumah ke rumah, jadi ini kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam membanteras Covid-19 ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast