Najib Razak tiba di mahkamah bagi sambungan perbicaraan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas cuti sakit kerana mata bengkak selepas pembedahan, Datuk Seri Najib Razak hari ini hadir semula ke perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Ketidakhadiran Najib menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi, Coliling Lawrence Sequerah terpaksa menangguh prosiding selama dua hari, Isnin dan Selasa lalu.

Bekas perdana menteri itu tiba sekitar 9.30 pagi dengan memakai kaca mata hitam dan memakai kot biru gelap  bersama-sama beberapa orang pegawainya.

Sebelum ini, peguam yang mengetuai pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad telah beberapa kali memaklumkan kepada mahkamah Najib telah menjalankan pembedahan mata Khamis lepas dan telah diberikan cuti sakit selama tujuh hari.

Bagaimanapun pihak pembelaan berharap untuk meneruskan prosiding jika bengkak itu surut secepat mungkin namun Najib masih lagi mempunyai bengkak mata serta penglihatannya juga kabur.

“Sebelum ini doktor yang merawat mata beliau telah menasihatinya untuk berehat  supaya bengkak dan tanda-tanda merah itu beransur pulih dalam tempoh terdekat” katanya Selasa lepas.

Shafie Abdullah menghadiri perbicaraan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2021.

Collin kemudian membenarkan permohonan tersebut dan membuat ketetapan prosiding bersambung Khamis pagi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sepatutnya hari ini seorang lagi peguam bela, Wan Aizuddin Wan Muhammed meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10 Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Prosiding dijangka bermula sebentar lagi. -MalaysiaGazette

Najib masih bengkak mata, perbicaraan 1MDB terpaksa ditangguh