Saed Jnaidi mendapat surat penganugerahan ijazah yang mengesahkan Phd miliknya dalam bidang komunikasi massa pada 16 April tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang graduan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa ijazah doktor falsafah (PhD) yang diterima universiti awam itu tidak diiktiraf di luar negara dan mengakui skrol yang diterimanya adalah tertulis sebagai ijazah doktor falsafah sahaja.

Bagaimanapun Dr Saed Jnaidi dari Palestin berkata, UPM menerusi Sekolah Pengajian Siswazah (SGS) telah mengeluarkan surat penganugerahan ijazah yang mengesahkan PhD miliknya adalah dalam bidang komunikasi massa pada 16 April tahun lalu.

Beliau memberitahu, surat oleh Dekan SPP, Prof Dr Zalilah Mohd. Shariff menyatakan Senat Universiti dalam mesyuarat ke-673 pada 9 April tahun sama telah bersetuju menganugerahkan PhD miliknya dalam pengkhususan itu.

“Apabila diminta menyertakan sijil berkaitan dalam permohonan visa di Belanda, saya telah menghantar skrol, surat anugerah ijazah dan juga surat transkrip.

“Namun saya dimaklumkan Phd Komunikasi Massa itu belum mendapat akreditasi penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Isu ini bukan dihadapi oleh saya seorang malah terdapat 10 graduan UPM yang mendapat PhD itu berdepan masalah yang sama,” katanya kepada MalaysiaGazette.

BACA: UPM nafi PhD keluarannya tidak diiktiraf di luar negara

Beliau tampil mengulas kenyataan UPM hari ini bahawa skrol yang diterima Dr Saed adalah tertulis sebagai doktor falsasah sahaja seperti yang bertarikh 9 April 2020 iaitu bukan PhD Komunikasi Massa seperti yang didakwanya.

UPM menjelaskan, ijazah PhD itu adalah program yang telah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399.

Sementara itu, menerusi tinjauan MalaysiaGazette di Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) di portal MQA mendapati Phd UPM itu berada dalam senarai manakala PhD komunikasi massa tiada dalam senarai.

UPM menerusi Sekolah Pengajian Siswazah (SPP) telah mengeluarkan surat penganugerahan ijazah yang mengesahkan Phd milik Dr Saed dalam bidang komunikasi massa pada 16 April tahun lalu.

Mengulas lanjut, Dr Saed menjelaskan, menerusi emel jawapan MQA kepadanya bertarikh 8 April lalu, agensi itu memaklumkan pihaknya baru sahaja menerima permohonan dari UPM sebanyak 18 program termasuk program PhD komunikasi massa untuk disenaraikan dalam MQR.

Jelas MQA katanya, proses itu akan dikendalikan oleh Bahagian Audit Institusi dan memerlukan dua hingga tiga bulan untuk membuat penilaian dan sebagainya.

“Apa yang menghairankan kenapa program PhD komunikasi massa baru dihantarkan ke MQA bulan lalu namun saya sudah disahkan menerusi surat oleh UPM pada tahun lalu.

“Saya hanya mahu menggunakan Phd yang diperoleh selama lima tahun pengajian di UPM untuk mencari peluang baharu di luar negara namun kecewa peluang itu dinafikan apabila berlaku isu ini,” katanya.

Dr Saed dan keluarga kini terkandas di Turki kerana permohonan visanya gagal memasuki Belanda gara-gara PhD komunikasi massa diterimanya tidak disenarai dalam MQR MQA selama ini.

Beliau berkata, mereka tidak dapat kembali ke Palestin kerana negaranya tidak lagi selamat selepas diserang Israel baru-baru ini manakala visa di Malaysia sudah pun tamat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Graduan dakwa PhD UPM tidak diiktiraf di luar negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast