KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan kes baharu Covid-19 paling tinggi yang pernah direkodkan di negara ini dengan 7,857 kes berbanding lapan hari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 7,849 orang adalah kes tempatan dan lapan merupakan kes import.
“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 541,224 kes kumulatif manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 69,408 kes.
“Daripada jumlah itu juga, 7,340 warga tempatan manakala 509 warga asing. Bagi kes import pula dua daripada lnya warga tempatan dan enam warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih membimbangkan jumlah kes kematian akibat Covid-19 hari ini masih tinggi dengan 59 kes dan kesemuanya adalah warga tempatan.
“Kesemua 59 kes kematian yang direkodkan hari ini melibatkan warganegara Malaysia. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,491 kes atau 0.46 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 4,598 kes sembuh baharu direkodkan hari ini me jadikan kumulatif kes sembuh berjumlah 469,325 kes atau 86.7 peratus.
Manakala 771 kes pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 392 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, Selangor merupakan negeri yang mencatatkan jumlah kes baharu paling tinggi dengan 2,675 kes, diikuti Sarawak (772) dan Kelantan (754).
“Ini diikuti dengan Kuala Lumpur sebanyak 561 kes, Johor (549), Kedah (441), Pulau Pinang (365), Negeri Sembilan (353), Terengganu (282), Pahang (238), Melaka (234), Perak (228), Sabah (217), Labuan (170) dan Perlis (6),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: