Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM958.70 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2021 daripada RM717.90 juta setahun yang lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata peningkatan keuntungan bersih disebabkan oleh penurunan ketara dalam kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM331.2 juta dan pertambahan keuntungan perakaunan nilai saksama bagi instrumen kewangan berjumlah RM135.3 juta.

Peningkatan prestasi itu juga disebabkan oleh perbelanjaan cukai lebih tinggi sebanyak RM224.1 juta dan kadar cukai efektif sebanyak 34.1 peratus untuk suku yang dikaji.

Untuk suku pertama 2021, TNB mencatat hasil lebih rendah sebanyak RM11.48 bilion daripada RM11.65 bilion tahun ke tahun kebanyakannya disebabkan oleh penurunan dalam jualan elektrik.

Perbelanjaan operasi syarikat utiliti itu berkurangan kepada RM9.15 bilion daripada RM9.54 bilion kerana kos penjanaan lebih rendah.

Ia menghasilkan keuntungan operasi lebih tinggi sebanyak RM2.33 bilion, peningkatan sebanyak RM104.0 juta atau 4.7 peratus daripada tempoh yang sama sebelumnya.

Sebagai sebuah perniagaan yang dikawal selia, TNB mengekalkan pulangan yang diluluskan di bawah rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR) sebanyak RM1.28 bilion.

Melangkah ke depan, TNB berkata walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pencegahan baru-baru ini, impak terhadap pertumbuhan dijangka adalah sedikit daripada pada tahun 2020 kerana lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

“Dengan sokongan dasar yang berterusan, ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan bagi pemulihan bagi tahun 2021.

“Seperti diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia, ekonomi dijangka akan pulih antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus,” katanya.

Dalam persekitaran perkembangan semasa pandemik COVID-19, TNB menjangkakan prospek pemulihan akan berlaku secara beransur-ansur tahun ini, disokong oleh pemulihan ekonomi di Malaysia dan negara-negara lain di seluruh dunia.

“Kumpulan ini telah mengambil langkah-langkah yang berhemat daripada segi keperluan operasi dan kewangan untuk memastikan TNB kekal berdaya tahan,” kata TNB.- BERNAMA