Mohd Khairul Adib Abdul Rahman

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman hari ini menegur penjawat awam yang disifatkan oleh orang ramai masih bersikap sambil lewa dan tidak cekap dalam memberikan perkhidmatan.

“Kita dilantik untuk membantu kerajaan menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi rakyat dan bukannya harapkan pangkat yang lebih tinggi kerana gaji serta elaun penjawat awam masuk (dibayar) seperti biasa. Mereka (penjawat awam) kena hargai perkara ini.

“Ingin saya ingatkan, jangan ambil sikap sambil lewa. Perlu kikis budaya lama. Penjawat awam perlu sedar apabila rakan-rakan lain (pekerja sektor swasta) berhadapan dengan ‘retrenchment’ ketika COVID-19, mereka langsung tidak terjejas,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam secara maya di sini.

Beliau juga mahu penjawat awam mengambil iktibar daripada situasi sukar yang dialami pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri yang kebanyakannya terjejas sumber pendapatan ketika negara berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Khairul Adib berkata penjawat awam perlu meningkatkan mutu perkhidmatan bagi mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap tahap kecekapan perkhidmatan awam dalam menguruskan setiap urusan.

“Tingkatkan mutu perkhidmatan dan semangat untuk tunaikan amanah yang diberikan iaitu berkhidmat kepada masyarakat bagi memastikan aspirasi kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Menurutnya, jika setiap penjawat awam mengamalkan sikap berintegriti dan beramanah dalam menjalankan tugas, persepsi negatif tersebut dapat ditangkis sekali gus meningkatkan imej penjawat awam.

Bagi memastikan perkhidmatan sektor awam kekal relevan, beliau mahu penjawat awam meningkatkan ilmu dan pengetahuan, terutamanya berkaitan teknologi baharu, supaya kemahiran serta kecekapan sedia ada dapat diperkasakan selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital yang dilancarkan awal tahun ini.

Khairul Adib juga mahu penjawat awam mengukur produktiviti penyampaian kerja masing-masing berlandaskan Rangka Tindakan Produktiviti yang memfokuskan pada produktiviti sebagai sumber pertumbuhan baharu negara.

Katanya peningkatan produktiviti adalah hasil daripada kemajuan teknologi serta kecekapan pengurusan ekonomi secara keseluruhan.

— BERNAMA