Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-10 perbicaraan penyewelengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan nilai RM2.3 billion mengakui Datuk Seri Najib Razak tidak pernah  memberitahunya dana 1MDB di luar negara itu milik UMNO.

Sebaliknya dakwa saksi itu yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman, dirinya hanya percaya apa yang dimaklumkan kepadanya oleh dua individu lain rapat dengan bekas Perdana Menteri itu.

Kedua-duanya ialah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan arwah Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Alasan yang diberikan oleh Mohd Hazem ketika disoal balas oleh peguambela Wan Aizuddin Wan Mohammed, sebenarnya tidak ada sesiapa yang boleh mempersoalkan seseorang yang berjawatan Perdana Menteri seperti Najib ketika itu.

Dakwanya, Lembaga Pengarah 1MDB sebenarnya telah ‘bersandiwara’ untuk bersama-sama menyembunyikan rekod rasmi dana syarikat yang disimpan di luar negara adalah milik UMNO.

Wan Aizuddin bertanyakan kepada saksi tentang mengenai usaha mengembalikan dana 1MDB dipercayai telah dilaburkan di luar negara pada tahun 2014 namun pada masa sama tidak ada apa-apa rekod yang menyatakan sedemikian dalam mesyuarat Lembaga Pengarah pada 27 Februari 2014.

Sebelum ini ketika prosiding tahun lalu September, Mohd Hazem memberitahu, 1MDB telah ditubuhkan untuk membiayai UMNO namun perkara itu didengarinya dari Jho Low dan bukan Najib.

Mohd Hazem Abdul Rahman

Pada awal tahun ini, ketika prosiding sama, Mohd Hazem sekali lagi mendedahkan kepada mahkamah yang Jho Low pernah memberitahunya 1MDB juga telah ditubuhkan untuk membiayai syarikat berkaitan UMNO.

Pada masa itu, Najib merupakan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Wan Aizuddin: Mengapa kamu tidak pernah tanya sendiri sebelum ini?

Mohd Hazem: Anda tidak mempunyai kuasa untuk menyoal seorang Perdana Menteri.

Wan Aizuddin : Mengapa ketika mesyuarat lembaga pengarah kamu tidak rekodkan bahawa dana di luar negara adalah milik UMNO?

Mohd Hazem: Ini sebenarnya satu skim, tidak boleh direkodkan.

Wan Aizuddin : Adakah ini satu konspirasi oleh semua ahli lembaga pengarah?

Mohd Hazem : Ya, benar.

Wan Aizuddin : Jadinya apa yang direkodkan dalam minit mesyuarat itu hanyalah sandiwara? Begitu?

Mohd Hazem : Mereka tahu apa yang mereka pertaruhkan.

Wan Aizuddin : Arahan untuk mencairkan dan mengembalikan dana, adakah semua itu sandiwara?

Mohd Hazem : Ya.

Wan Aizuddin : Adakah anda juga berpakat dengan Jho Low?

Mohd Hazem : Tidak benar.

Wan Aizuddin : Adakah Najib sendiri pernah memberitahu anda dana di luar negara itu milik UMNO?

Mohd Hazem : Tidak pernah. Yang beritahu saya semua itu ialah Jho Low dan arahan Datuk Azlin, saya percayakan mereka.

Sebelum ini pasukan pendakwaan mendakwa berbilion dana 1MDB telah disalurkan ke luar negara dalam jejak wang berbelit-belit yang melibatkan pelbagai entiti.

Wang itu kemudian didakwa dimasukkan ke akaun bank Najib, ini termasuklah bon AS$ 3 bilion yang diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB, 1MDB Global Investments Limited (1MDB-GIL) pada tahun 2013.

Dalam pada itu ketika pemeriksaan tadi, Mohd Hazem juga membuat pengakuan ada sebahagian daripada wang dari luar negara yang dikembalikan tidak masuk ke akaun UMNO sebaliknya dikembalikan kepada 1MDB.

Prosiding sepanjang hari telah berjalan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung pada Selasa depan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. -MalaysiaGazette