Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan dadah pelbagai bernilai RM7.6 juta yang dirampas dari seorang lelaki tempatan dalang utama menggerakkan sindiket pengedaran dadahi pasaran Lembah Klang dicekup dalam serbuan di Ampang dan Petaling Jaya 21 Mei lalu. Ihsan IPK Selangor

SHAH ALAM – Polis menahan seorang lelaki pada Jumaat lalu dan merampas dadah bernilai RM7.6 juta bagi diedarkan di Lembah Klang.

Suspek yang mempunyai rekod kesalahan jenayah dadah lampau itu akan meninggalkan kereta yang mempunyai bekalan dadah di kawasan parkir pasar rayaatau padang permainan bagi membolehkan membolehkan ahli sindiket mengambilnya untuk diedar.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, lelaki yang ditahan itu merupakan dalam sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat risikan polis, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menahan seorang lelaki tempatan yang memandu kereta di kawasan parkir sebuah pusat membeli belah  di Ampang.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui dua beg plastik yang mana di dalamnya terdapat sembilan bungkusan plastik berisi pil-pil berwarna hijau dan merah jambu yang disyaki pil ekstasi dengan anggaran berat sebanyak 7.32 kilogram (kg).

“Manakala dua bungkusan bungkusan plastik hijau masing-masing berisi satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan disyaki dadah ketamin anggaran berat 2 kilogram dan suspek merupakan dalang sindiket pengedaran itu yang berusia 27 tahun dan suspek tidak bekerja dan mempunyai dua rekod dadah di bawah Seksyen 39a(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua jumlah nilai rampasan dadah bagi tangkapan serbuan pertama ini adalah RM545,200 iaitu pil ekstasi RM439,200 dan ketamin RM106,000,” katanya pada sidang media secara maya, di sini, hari ini.

Menurut Arjunaidi, hasil soal siasat dan berpandukan maklumat tambahan daripada suspek, pada hari yang sama pada jam 4.15 petang, polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Petaling Jaya yang membawa penemuan 29 bungkusan plastik, masing-masing berisi satu peket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat 30.165 kg.

Ujarnya, polis turut menemui 25 bungkusan plastik hijau masing-masing berisi satu peket plastik lutsinar berisi ketulan disyaki dadah ketamin dengan anggaran berat 25.870 kg dan 20 peket plastik lutsinar masing-masing berisi pil-pil pelbagai warna disyaki dadah ekstasi anggaran berat 72.590 kg.

“Selain itu pasukan Bukit Aman turut merampas 1,350 kepingan aluminium foil warna perak/merah berisi pil-pil disyaki dadah erimin 5 seberat 3.510 kg dengan keseluruhan rampasan dadah dalam serbuan kedua ini adalah RM7,075,700 iaitu pecahan syabu RM1,085,940, ketamin RM1,371,110, pil ekstasi RM4,355,400 dan pil eramin 5 bernilai RM263,250,” katanya.

Menurut Arjunaidi, ujian saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dadah dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan harta melalui asset tracing milik lelaki itu dan ahli sindiket itu yang masih bebas mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Tambah beliau, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga esok di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan suspek doleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

“Modus operandi sindiket yang digerakkan dalang berkenaan adalah ahli sindiket meletakkan kenderaan di parkit mana-mana lokasi.

“Kuncinya ditinggalkan di mana-mana tempat dan diberikan kepada rangkaian atau ahli lain yang akan mengambil kenderaan berkenaan sebagai taktik elak aktiviti itu dikesan polis dan begitu juga urusan dan pembayaran kaedah sama,” katanya. -MalaysiaGazette