Vaksin keluaran Sinopharm. foto Agensi

BEIJING – Dua vaksin Covid-19 Sinopharm menunjukkan keberkesanan lebih daripada 70 peratus terhadap kes simptomatik, menurut hasil terperinci pertama daripada kajian peringkat akhir yang diterbitkan kepada awam.

Vaksin yang dikembangkan oleh anak syarikat Sinopharm yang berpusat di Wuhan itu didapati 72.8 peratus berkesan terhadap simptom Covid-19, sekurang-kurangnya dua minggu selepas suntikan kedua, berdasarkan hasil sementara kajian dan diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association.

Perkembangan terbaharu itu lebih baik daripada kadar 72.5 peratus yang diumumkan dalam kenyataan syarikat pada bulan Februari lalu.

Vaksin lain yang dikembangkan oleh sebuah institusi di Beijing – ada kaitan dengan Sinopharm, yang telah mendapat kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan keberkesanan 78.1 peratus, kata jurnal tersebut.

Bacaan itu dibuat berdasarkan pengiraan lebih 142 kes simptomatik dalam percubaan yang melibatkan lebih daripada 40,000 peserta, dengan 26 disuntik menggunakan vaksin unit Wuhan dan 21 dengan suntikan unit Beijing, katanya.

“Hanya terdapat dua kes Covid-19 yang teruk dalam kalangan peserta, jadi kesimpulan mengenai pencegahan kes yang teruk tidak dapat dibuat.

“Kajian ini tidak dapat menjawab pertanyaan apakah vaksin mencegah infeksi asimtomatik yang memerlukan pengawasan secara formal melalui kajian virologi dan serologi,” menurut jurnal tersebut.

Percubaan yang dijalankan di negara-negara termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain, tidak merekrut wanita hamil dan orang di bawah 18 tahun, sementara data tidak mencukupi untuk warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik, kata para penyelidik. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.