KUALA LUMPUR – Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis semalam, menahan 581 individu atas pelbagai kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari jumlah itu, 574 individu dikompaun, enam direman, manakala seorang dijamin.
Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka seramai 191 individu, gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (119), tiada penjarakan fizikal (89), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (67), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (53) dan lain-lain kes 62 orang.
Kata beliau, menerusi Operasi Benteng mengawal sempadan negara pula, pihak berkuasa telah menangkap 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas empat kenderaan darat.
“Dalam operasi itu juga, sebanyak 164 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai operasi sanitasi awam, beliau menjelaskan, sebanyak 72 operasi dilakukan meliputi 38 zon merah, zon jingga (dua) dan zon kuning (lima) di seluruh negara.
Operasi itu melibatkan 364 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 188 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 216 buah jentera JBPM.
Secara kumulatifnya, kata beliau, sebanyak 25,010 operasi sanitasi merangkumi 79 zon dilakukan sejak 30 Mac tahun lalu.
“Operasi sanitasi ini melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasaraya dan bangunan kerajaan,” katanya.
Berhubung kurantin wajib pula, Ismail Sabri berkata, seramai 792 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara mulai semalam.
“Sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 213,025 individu telah pulang ke tanah air dan semua ditempatkan di 78 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 8,052 individu telah dikuarantin dan 202,774 orang dibenarkan pulang, manakala 2,199 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – MalaysiaGazette
Sekiranya kadar rakyat dicekup ingkar SOP rendah tetapi kadar jangkitan tinggi maka pihak penguatkuasa boleh dipersalahkan kerja sambil lewa.