KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan mengeluarkan larangan pergerakan rentas negeri dan daerah serta tidak membenarkan aktiviti ziarah ahli keluar pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, masih ada pihak yang ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akibat keingkaran itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dan merekodkan sebanyak 24 kluster sambutan Hari Raya Aidilfitri sehingga semalam.
Kata beliau, secara kumulatifnya, sebanyak 850 kes telah direkodkan daripada kluster itu, manakala seramai 3,309 individu telah menjalani ujian saringan.

“Paling membimbangkan, apabila KKM mendapati kebanyakan kes positif dilaporkan melibatkan individu yang tidak bergejala. Bagi kluster ini, 699 kes tidak bergejala telah dikesan berbanding yang bergejala, 151 kes.
“Data daripada KKM menunjukkan kluster sambutan Hari Raya Aidilfitri paling tinggi direkodkan di Tumpat, Kelantan iaitu 224 kes, selain itu, Kluster Simpang Sahari di Wilayah Persekutuan Labuan pula merekodkan 123 kes.
“Saya amat berharap rakyat terus patuhi SOP memandangkan kes positif semakin meningkat naik dan hari ini ia telah mencecah lebih 8,000 kes,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau telah mengambil maklum bilangan kes yang meningkat mendadak itu dan telah membawa cadangan ke pihak atasan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, dalam mesyuarat khas harian semalam, kerajaan bersetuju mengenakan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) enam kawasan melibatkan Kuala Terengganu, Pahang, Johor Bahru, Selangor dan Sabah.
Kata beliau, di Kuala Terengganu, sebanyak 21 mukim diletakkan dalam PKPB selama dua minggu mulai 30 Mei hingga 12 Jun ini.
Mukim terlibat ialah Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Chendering, Bandar, Chabang Tiga, Kepong, Gelugur Kedai, Kuala Ibai, Atas Tol, Tok Jamal, Losong, Batu Buruk, Pekan Chabang Tiga, Pulau pulau dan Gelugur Raja.
“KKM mendapati berlaku peningkatan kes amat ketara sepanjang Mei ini iaitu 349 kes atau 370 peratus bagi tempoh dua minggu di semua lokaliti berkenaan. Selain itu, sebanyak 46 kes positif Covid-19 direkodkan hasil saringan bergejala dan dikesan hampir semua mukim dalam daerah Kuala Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, PKPD juga dikuatkuasakan di Jengka 24, Jerantut dan Kampung Baru Melayu, Mukim Bentong, Pahang mulai tengah malam esok sehingga 12 Jun ini, kerana berlaku penularan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
Turut diletakkan dalam pelaksanaan PKPD ialah Taman Sinar Harapan Tampoi, Johor Bahru; Taman Pertama dan Taman Serendah, Sabak Bernam, Selangor; serta tiga lokaliti di Tawau Sabah.
Kata beliau, bagi Taman Sinar Harapan Tampoi, Johor Bahru, PKPD dilaksanakan kerana kadar kadar positiviti yang tinggi iaitu 76.15 peratus di kawasan itu dengan rekod 99 kes positif daripada 130 ujian saringan yang dilakukan.
“Begitu juga di Taman Pertama dan Taman Serendah, Sabak Bernam, berlaku peningkatan ketara kes positif di lokaliti ini dalam tempoh yang singkat apabila 113 kes direkodkan daripada 1237 ujian saringan.
“Tiga lokaliti di Tawau, Sabah pula melibatkan Kampung Pasir Putih Blok B, PPR Taman Sri Balung dan Kampung Baru Pasir Putih.
“Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang amat ketara dalam masa singkat iaitu Kg Pasir Putih; Blok B merekodkan lapan positif daripada 16 disaring, PPR Taman Sri Balung 18 kes daripada 23 ujian saringan, manakala 11 positif hasil saringan ke atas 30 orang di Kg. Baru Pasir Putih,” katanya.
Justeru, kata beliau, pelaksanaan PKPD disemua lokaliti itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan memastikan mereka yang berisiko dijangkiti Covid-19 kekal dalam kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri turut menyatakan pelanjutan PKPD selama satu hingga dua minggu bagi Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka dan Lorong 2, Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah.
Katanya, Kampung Lubok Redan dilanjutkan selama satu minggu mulai 30 Mei hingga 5 Jun kerana masih berlaku penularan di lokaliti tersebut dan kes baharu direkodkan serta terdapat juga sampel ujian sedang menunggu keputusan.
Bagi lokaliti Lorong 2, Kampung Kongsi 8 pula dilanjutkan selama dua minggu lagi dari 30 Mei hingga 12 Jun ini berikutan 295 ujian saringan yang dilakukan, 40 daripadanya disahkan positif Covid-19.
“Pada masa sama, masih berlaku penularan kes di lokaliti tersebut dengan kes baharu juga direkodkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















