KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui 21 lagi kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu masing-masing sebanyak enam kluster membabitkan tempat kerja dan komuniti.
Manakala empat kluster keagamaan, dua kluster pendidikan lain dan masing-masing satu kluster babitkan pendidikan tinggi, kumpulan berisiko serta pusat tahanan.
Beliau berkata, kluster-kluster tersebut ditemui di Selangor (4), Kelantan (4), Kuala Lumpur (4), Johor (2), Pulau Pinang (2), Kedah (2), Negeri Sembilan (2) dan Perak (1).
“Dengan penemuan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan klsuter Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 2,123.
Bagaimanapun menurut Noor Hisham, sebanyak 1,509 kluster telahpun ditamatkan namun, terdapat 614 lagi kluster yang masih aktif. – MalaysiaGazette