Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman. Foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2021.

SUBANG – Seorang pemilik akaun Twitter bernama @ sedang dicari polis untuk membantu siasatan atas dakwaan kononnya polis telah meminta suapan kepada kakak sepupunya semasa melalui sekatan jalan raya untuk merentas daerah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, satu laporan polis dibuat oleh pihaknya ke atas pemilik akaun media sosial itu apabila posting tersebut walaupun hantaran itu telah dipadam.

“Subjek telah memuat naik tiga keping imej tangkap layar memaparkan perbualan melalui aplikasi WhatsApp bersama kakak sepupunya, yang didakwa telah diperas oleh anggota polis kerana gagal mengemukakan surat kebenaran merentas daerah daripada Polis Diraja Malaysia.

“Selain itu, kakak sepupu subjek turut mendakwa, tindakan tersebut telah menjadi amalan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abd Khalid, sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan polis bagi mengesahkan kejadian yang didakwa.

Satu laporan polis telah dibuat ke atas pemilik akaun Twitter @mantouyeoja dan menyeru untuk tampil bagi membantu siasatan.

Beliau menasihatkan warga maya tidak menyebarkan sebarang imej tangkap layar atau memberi komen yang boleh menyentuh atau mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998 dan sekiranya didapati bersalah, hukuman denda sebanyak RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya.

Abd Khalid berkata, polis memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terlibat dalam aktiviti sedemikian.-MalaysiaGazette