KUALA LUMPUR – Kes penahanan individu yang ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semalam mencatatkan bilangan tertinggi dalam tempoh dua minggu ini, dengan 617 dikenakan tindakan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari jumlah itu, 579 dikenakan kompaun, manakala selebihnya 38 individu lagi direman.
Katanya, semua mereka ditahan dalam Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis menerusi 69,702 pemeriksaan semalam.
Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka seramai 118 orang, rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (112), tiada penjarakan fizikal (111), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (77), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (66), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain kesalahan (122).
“Task Force Operasi Pematuhan ini melibatkan 3,575 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 15,887 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan, Operasi Benteng semalam juga telah menangkap 32 orang pendatang asing tanpa izin dan merampas 12 kenderaan darat.
“Dalam operasi itu juga, sebanyak 162 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini. – MalaysiaGazette