Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kawalan sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pangsapuri Permai, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 MEI 2021.

GEORGE TOWN – Pelbagai lapisan masyarakat di sini mengharapkan kerajaan memberi bantuan khas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula 1 Jun ini.

Rata-rata mereka meminta kerajaan mengkaji jenis bantuan serta jumlah yang diberikan agar ia dapat mengurangkan bebanan rakyat yang kini berdepan pelbagai cabaran dalam menempuh pandemik Covid-19.

Menurut seorang pesara kerajaan, John Baptist, 56, kerajaan perlu memberi bantuan sara hidup seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 kepada semua golongan memerlukan termasuk pesara kerajaan.

John Baptist.

Jelasnya, kerajaan harus memanfaatkan Ordinan Darurat untuk mengarahkan institusi kewangan dan perbankan menawarkan moratorium 2.0 tanpa caj atau faedah tambahan.

“Kita harap moratorium kali ini dilanjutkan untuk tempoh tiga ke enam bulan.

“Duit untuk bayar ansuran di bank itu boleh digunakan untuk membeli barang keperluan atau kecemasan lain,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Masriah Mohd Mahyadin, 34, berkata, kerajaan perlu memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya mereka yang hilang pekerjaan atau tidak boleh berniaga akibat Covid-19.

Masriah.

“Kerajaan perlu kaji betul-betul sebelum memberikan bantuan kali ini agar ia sampai kepada mereka yang memerlukan berbanding mereka yang menggunakannya untuk pelaburan emas atau sebaliknya.

“Bukan kita sedang lalui saat getir ini, seluruh dunia turut kena tempias, jadi kita tidak boleh letak beban sepenuhnya kepada kerajaan,” kata pekerja swasta itu.

Turut memberikan pendapat yang sama, Shahrul Aizat Shahrulzaman, 23, berkata, bantuan kerajaan itu perlu kerana pelaksanaan sekatan pergerakan pada Selasa ini memberi impak besar kepada orang perseorangan mahupun peniaga.

Shahrul Aizat.

“Saya sebagai peniaga telefon bimbit semestinya akan mengalami kerugian kerana tiada orang awam akan datang membeli tambahan pula kami bukan peniaga dalam kategori perlu.

“Jadi kalau kerajaan beri bantuan sedikit sebanyak dapat meringan bebanan dari segi pembayaran sewa dan gaji,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, M.Chandagantha meminta kerajaan membenarkan pengeluaran i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0.

Chandagantha.

“Mungkin kerajaan boleh tetapkan had pengeluar serta golongan tertentu saja boleh keluarkan wang dalam simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu.

“Ini sekali gus dapat meringgankan beban kerajaan untuk menanggung sepenuhnya kos bantuan khas kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette