KUALA LUMPUR – Bahagian Penyiaran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memohon maaf atas kesilapan memaparkan nama tempat, “Seremban, Selangor” dalam rancangan Anda Musykil pada Khamis lalu.
Dalam kenyataan semalam, Jakim menyatakan rancangan yang diterbitkan jabatan itu yang disiarkan secara langsung di TV1 itu telah diakui kesilapannya oleh Pembantu Penerbit Rancangan yang mengendalikan panggilan telefon daripada penonton dalam rancangan tersebut.
“Bahagian Penyiaran Jakim ingin menyatakan permohonan maaf atas kesilapan memaparkan nama tempat “Seremban, Selangor” dalam rancangan Anda Musykil yang diterbitkan oleh JAKIM pada 27 Mei 2021.
“Kesilapan ini telah diakui oleh Pembantu Penerbit Rancangan yang mengendalikan panggilan telefon daripada penonton dalam rancangan tersebut.
“Kami merasa kesal dengan perkara tersebut dan akan memastikan tidak berulang lagi dalam setiap rancangan televisyen yang diterbitkan oleh Jakim,” kata kenyataan itu.
Kenyataan “Seremban terletak di Selangor” yang dipaparkan dalam rancangan itu dilaporkan berikutan kesalahan pembantu penerbit ketika menaip informasi itu.
Difahamkan, kesalahan yang dilakukan semasa rancangan tersebut disiarkan secara langsung adalah tidak disengajakan dan tanpa sebarang niat tertentu.
Menurut kenyataan itu lagi, Bahagian Penyiaran Jakim turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas sikap keprihatinan dan sokongan masyarakat dalam rancangan agama terbitannya sama ada di televisyen mahupun radio. – MalaysiaGazette
















