Suspek (kanan) berdepan 14 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Butterworth esok.

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki yang melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan kandungnya sejak 12 tahun lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman ke atas juruteknik kilang berusia 45 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Hasliza Razak.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna oren itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.45 pagi dengan diiringi sepasukan polis.

Terdahulu, polis menahan suspek di Bukit Tengah di sini pada jam 4.45 petang semalam susulan laporan dibuat anak perempuannya berusia 18 tahun yang mendakwa menjadi hamba seks ayahnya sejak berusia enam tahun.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, selepas 12 tahun menjadi mangsa nafsu serakah bapa kandung, seorang gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia tampil mendedahkan tragedi hitam hidupnya.

Sumber MalaysiaGazette berkata, gadis berusia 18 tahun itu sembunyikan perkara tersebut demi memastikan rumah tangga ibu bapanya tidak berantakan.

Jelas sumber, perbuatan terkutuk suspek berusia 45 tahun itu terbongkar selepas mangsa membuat laporan dicabul pada Selasa lalu. – MalaysiaGazette