KUALA LUMPUR – Rakyat kena terima hakikat berdepan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu bermula 1 Jun ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan itu merupakan ikhtiar kerajaan untuk melandaikan lekuk kes jangkitan Covid-19 tang telah mencecah paras melampau.
“Paras melampau yang memang kita khuatiri boleh berlaku di sebalik PKP suam-suam kuku dan alasan Ordinan Darurat.
“Namun, apakan daya musibah sudah terjadi. Tiada peluang ‘U-Turn’ dalam hal ini. Ini pertempuran yang tidak kita rela, namun terpaksa diharungi.
“Rakyat Malaysia yang dihormati. Negara tidak punya banyak pilihan. Jika gagal kali ini berkemungkinan akan gagal untuk tempoh yang lebih lama,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
Kes positif yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mencecah lebih 9,000 kes baharu, dengan Selangor negeri tertinggi iaitu 2,836 kes, diikuti Kelantan (907 kes), Negeri Sembilan (898 kes) dan Kuala Lumpur (789 kes).
Manakala sebanyak 98 lagi kes kematian dicatatkan, menjadikan jumlah kes kematian positif Covid-19 sebanyak 2,650 kes.
Menurut Ahmad Zahid, jika dahulu rakyat berdepan dengan PKP penuh pada kadar ratusan jangkitan sehari, tetapi kini pada kadar jangkitan lebih 8,000 sehari.
Maka, katanya, perjuangan PKP penuh kali ini pasti jauh lebih mencabar, namun walauapa rintangan sekalipun, mereka perlu berusaha menang.
“Tempoh 14 hari bukanlah singkat. Bagi sebahagian kita menempuhinya bukan suatu cabaran yang besar, tetapi bagi yang lain, ia masih merupakan satu dugaan yang amat memeritkan. Masing-masing ada kekangan tersendiri.
“Justeru, mari kita bersama menjaga kita. Saling membantu dan mengambil berat. Prihatin kepada masyarakat sekeliling yang memerlukan.
“Saya mendoakan seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama tabah serta cekal mengharungi ‘total lockdown’ sehingga 14 Jun ini,” ujarnya.
Beliau berdoa agar usaha itu berbaloi dan menemui titik noktah pada pengakhirannya dengan harapan kadar jangkitan Covid-19 dapat segera diturunkan. – MalaysiaGazette