Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu akan menyalurkan bantuan bersasar kepada mereka yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Berang dan daerah Kuala Terengganu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memperuntukan kira-kira RM420,000 bagi menjayakan bantuan itu, yang turut terkesan dengan pelaksanaan PKP penuh bermula 1 Jun ini.

“Kita mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan ‘total lockdown’ di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun ini.

“Berikutan itu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan bersasar kepada yang terkesan akibat PKPD di Kuala Berang dan Kuala Terengganu dengan jumlah keseluruhan RM420,000.

“Sebelum ini, kita telah menyediakan bantuan bersasar kepada penduduk di Daerah Besut yang dikuatkuasakan PKPD,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau meminta rakyat negeri itu kekal bertenang dan sentiasa patuh kepada arahan dan SOP.

Dr. Ahmad Samsuri menasihatkan penduduk Terengganu, agar tidak menuding jari kepada orang lain sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni, sebaliknya harus berganding bahu dan bersatu hati untuk memutuskan rangkaian Covid-19.

“Teruskan bermunajat kepada Allah dan berdoa agar ujian ini segera berakhir dan kehidupan kita kembali normal seperti biasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast