Mohd Ridzuan (kanan) melakukan tinjauan bekalan barang keperluan di Pusat Beli-Belah Queensbay di sini hari ini.

BAYAN LEPAS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menegaskan tiada pembelian panik berlaku di negeri ini

Sebaliknya, terdapat peningkatan pelanggan yang keluar membeli barang keperluan tambahan pada hujung minggu.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, gambar yang tular menunjukkan orang ramai berbaris panjang untuk masuk ke pasar raya disebabkan kawalan pematuhan SOP yang ditetapkan ketika ini.

Mohd Ridzuan (kiri).

Jelas beliau, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan barangan di negeri ini mencukupi.

“Pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula Selasa ini.

“Pengguna tidak perlu membuat pembelian secara pukal kerana bekalan barangan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, telur, roti putih dan ayam juga sentiasa mencukupi.

“Jangan bimbang kerana sepanjang tempoh lockdown nanti pasar raya masih lagi dibuka malah pengguna juga boleh mendapat bekalan barangan di kedai runcit berhampiran,”katanya.

Mohd Ridzuan berbual dengan pengunjung di Pusat Beli-Belah Queensbay di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Beli-Belah Queensbay di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Ridzuan berkata, beberapa langkah akan diambil pihaknya sebagai persediaan sekiranya berlaku situasi pembelian panik.

Antaranya meningkatkan pemantauan selain meminta pihak pasaraya membuat kawalan kendiri seperti menghadkan jumlah pembelian barangan.

“Sekiranya berlaku pembelian mendadak, kita minta pasaraya hadkan pembelian.

”Berbekalkan pengalaman daripada PKP 1.0, kita memberi jaminan bekalan barangan mencukupi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette