Lokaliti yang dikenakan PKPD akan dipasang kawat bagi mengelak penduduk keluar masuk.

KUALA LUMPUR – Beberapa lokaliti di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak diletakkan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai 31 Mei hingga 13 Jun ini.

Ini berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh singkat dan ketara dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di beberapa lokaliti berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara lokaliti terlibat ialah tiga perumahan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti, Mukim Tungku, Lahad Datu dan Kampung Padawan, Papar, Sabah serta tiga Rumah Panjang di Ulu Sungai Sebakong, Mukah di Sarawak.

Ismail Sabri Yaakob

Kata beliau, tiga perumahan di Kuala Pilah ialah Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh, yang didapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 51 kes positif Covid-19 telah direkodkan iaitu 21 kes di Taman Desa Permai, 17 kes di Rumah Rakyat Juasseh dan 13 kes di Taman Sri Juasseh.

Bagi PKPD Felda Sahabat 40, Kampung Kembara Sakti, Mukim Tungku pula, sebanyak 10 kes positif telah direkodkan oleh KKM setelah menjalani ujian saringan ke atas 28 penduduk,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, tiga Rumah Panjang di Ulu Sungai Sebakong, Mukah, Sarawak yang terlibat dengan PKPD mulai Isnin ini ialah Rumah Panjang Rimong anak Kilat, Rumah Panjang Asin anak Aji dan Rumah Panjang Bija anak Unggang.

Jelasnya, berlaku peningkatan kes di lokaliti berkenaan iaitu 35 kes positif telah direkodkan hasil daripada 93 ujian saringan dilakukan oleh KKM.

Manakala Kampung Padawan di Papar, Sabah dikenakan PKPD berikutan pengesahan KKM bahawa berlaku peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

KKM, katanya, telah melakukan sebanyak 238 ujian saringan dan sembilan daripadanya didapati positif Covid-19.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD bagi dua lokaliti di Pahang, iaitu Seri Kemunting di Kuantan dan Kampung Paya Teh di Jerantut.

Ujar beliau, penamatan di dua lokaliti itu berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini.

Bagaimanapun, katanya, PKPD di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah terpaksa dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 13 Jun ini kerana kes masih menular dan terdapat sampel ujian saringan yang sedang menunggu keputusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast