SHAH ALAM – Penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown fasa pertama di seluruh negara pada 1 Jun ini tidak hanya menyebabkan ramai pengusaha gulung tikar, bahkan ada peniaga yang menjana peluang ekonomi baharu.
Syarikat tempatan digalak menambah cabang perniagaan mereka dalam sektor e-dagang yang mana pasarannya lebih luas dan orang ramai boleh membuat pembelian secara dalam talian walaupun ketika perintah berkurung dilaksanakan.
Pengalaman negara berdepan pandemik Covid-19 bermula tahun lepas membuka mata semua pihak bahawa masih luas lagi pasaran dalam talian yang menawarkan harga lebih murah dan lebih selamat kepada masyarakat.
Personal Shopper merupakan salah satu peluang perniagaan baharu yang mendapat permintaan tinggi ketika negara berdepan pandemik Covid-19, sama ada dilakukan secara perseorangan mahupun inisiatif pengusaha syarikat sendiri
ST Rosyam Mart, salah sebuah pasaraya dan syarikat tempatan yang turut menawarkan perkhidmatan pembelian dalam talian dan penghantaran terus ke hadapan pintu pelanggan.
Menurut jurucakapnya, Nurul Liza Asril, pasaraya itu menawarkan dua kaedah pembelian secara dalam talian sama ada secara pesanan awal dan pandu lalu serta pembelian dengan penghantaran terus ke rumah.
“Walaupun 1 Jun ini total lockdown, namun pasaraya kami buka seperti biasa dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
“Untuk memudahkan pelanggan, kita menawarkan perkhidmatan pesanan tanpa dikenakan caj tambahan selain penghantaran ke rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette di pasaraya ST Rosyam Mart, Seksyen 9, di sini, hari ini.
Walaupun ketika ini pesanan barang keperluan hanya dibuat melalui aplikasi WhatsApp sahaja, namun orang ramai boleh bertanyakan harga sebelum pembelian.
“Ketika ini kita tidak mempunyai laman web dan menu barang secara dalam talian, orang ramai boleh bertanyakan harga dengan memberi senarai barang kepada personal shopper kita.
“Setelah itu kita boleh memberikan harga barang yang disenaraikan walaupun sebelum pembelian, kita faham orang ramai mahu membuat perbandingan harga sebelum membeli,” katanya.
Ditanya tentang jumlah pesanan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Nurul Liza tidak menafikan pesanan yang diterima semakin meningkat khususnya penghantaran rumah ke rumah.
“Pesanan yang kami terima sejak tiga hari lepas semakin bertambah hingga mencecah 30 pesanan untuk penghantar terus ke rumah.
“Pertambahan ini berlaku kerana orang ramai bimbang untuk keluar, mereka rasa selamat bila pembelian dibuat melalui personal shopper, sama ada datang pickup barang tanpa masuk ke pasaraya atau terus ke rumah,” jelasnya.
Ketika ini ST Rosyam Mart mengenakan caj penghantar sehingga RM25 bagi 10 kilometer pertama bagi penghantaran rumah ke rumah. – MalaysiaGazette