Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) merangkul anugerah berprestij Brand of the Year 2020 yang merupakan pengiktirafan jenama peringkat antarabangsa terulung di World Branding Awards di London baru-baru ini.

Syarikat utiliti elektrik nasional itu adalah satu-satunya jenama yang menerima pengiktirafan tersebut bagi kategori anugerah tenaga di Malaysia, kata satu kenyataan TNB hari ini.

TNB juga memenangi anugerah yang sama pada tahun 2014, 2018 dan 2019.

Lebih 400 jenama dari lebih 45 negara menerima pengiktirafan “Brand of the Year” di World Branding Awards 2020-2021.

World Branding Awards adalah program anugerah ulung anjuran World Branding Forum, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa yang berpangkalan di London.

“Anugerah itu mengiktiraf pencapaian inovatif dan kreatif pelbagai jenama yang kekal unik dan relevan kepada pelanggan mereka sepanjang tahun lalu,” kata kenyataan yang sama.

Penerima anugerah dinilai dari tiga aspek termasuk penilaian jenama (30%), penyelidikan pasaran pelanggan (40%) dan undian awam secara secara maya (30%).

Undian dan pencalonan dilakukan semasa pendemik Covid-19 melanda dunia ketika mereka berdepan dengan pelabagai kekangan yang memberi impak besar terhadap landskap ekonomi masing-masing.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, anugerah terbaharu ini mencerminkan kerjasama 35,000 warga kerjanya yang sentiasa gigih memberikan perkhidmatan terbaik kepada hampir 10 juta pelanggan TNB.

“Dengan berbekalkan semangat kerjasama dan dedikasi
semua warga kerja TNB, kami sekali lagi berjaya memenangi kepercayaan pelanggan menerusi pengalaman pelanggan dan jenama yang terbaik.

“Kami akan terus menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan pelanggan bagi mendengar setiap keluhan mereka dan memastikan ia ditangani dengan baik. Kami juga akan terus
mengukuhkan hubungan dengan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Dalam pada itu, Pengerusi World Branding Forum, Richard Rowles berkata, anugerah itu mengiktiraf pemasar terbaik dari serata dunia.

“Anugerah ini adalah satu penghargaan kepada usaha gigih syarikat-syarikat ini dalam membina dan mengekalkan jenama mereka di arena pasaran yang sentiasa berubah,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast