Dion-Johan Cools.

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi bayangan pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools akan menyertai skuad Harimau Malaya di Dubai dalam masa terdekat.

Melalui satu video yang dikongsi di Instagram Story FAM, Datuk Hamidin tampil dengan satu hantaran berbunyi: “Sekarang waktu jam 8 pagi di Dubai. Nantikan ketibaan pemain ke-26 Harimau Malaya.”

Bagaimanapun dalam video singkat tersebut tidak menyatakan siapakah pemain ke-26 yang dimaksudkan.

Sebelum ini khabar angin bertiup kencang mengatakan Cools yang juga pemain FC Midtjylands telah memilih untuk menyarung jersi pasukan negara dan akan menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Dubai.

Malah nama pemain itu merupakan antara 16 pemain kelab tersebut yang dilepaskan untuk tugasan antarabangsa pada minggu lalu, sebelum namanya dipadam tanpa penjelasan.

Pasukan negara baharu sahaja menamatkan sesi latihan dan perlawanan persahabatan di Manama, Bahrain dan sedang dalam rangka persiapan terakhir menghadapi saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE.

Skuad kendalian Cheng Hoe bakal menentang tiga lawan sukar iaitu UAE, Vietnam, dan Thailand mulai 3 Jun dalam memburu tempat ke Piala Asia 2023 di China secara automatik, selain untuk melangkah ke pusingan ketiga Piala Dunia. – MalaysiaGazette