Covid-19 screening (Picture for representational purposes only) Healthcare workers from Sel Care Selangor using the Biosenser F200 machine to get Covid-19 screening result at Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 26 MAY 2021. Covid-19 cases
(Picture for representational purposes only) Healthcare workers from Sel Care Selangor using the Biosenser F200 machine to get Covid-19 screening result at Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 26 MAY 2021.

BARU-baru ini kes harian jangkitan Covid-19 telah mencecah lebih 9,000 kes menjadikannya kes harian tertinggi, manakala kes kematian pula mencapai 98
kes, juga kes kematian harian tertinggi. Jari mula dituding ke sana ke mari. Video-video mula dirakam bagi menyatakan kekesalan dan mengorek kesalahan. Pelbagai pihak masih menjuarai media sosial dengan pelbagai konspirasi dan telahan sendiri.

Adakah kerajaan telah gagal? 

Kes harian Covid-19 mula meningkat pada awal Februari dengan kluster tempat kerja diikuti dengan kluster kematian. Kemasukan semula pelajar ke sekolah turut menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di kalangan pelajar sekolah. Satu demi satu sekolah mengalami penutupan sementara dan berperingkat sehingga akhirnya beberapa kawasan terpaksa mengalami penutupan sekolah secara total. Kes-kes ini terus meningkat sehingga menjelang cuti persekolahan menyaksikan beberapa buah sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai pertengahan kedua bulan April 2021.

Kes yang menular di sekolah berasrama ini kebanyakannya bukan sahaja berpunca daripada pelajar yang masuk mendaftar semula yang membawa virus tersebut malahan daripada pertemuan dengan ibu bapa, guru-guru ataupun pekerja sekolah yang turut menetap di luar asrama. Kegagalan menekankan pentingnya penjagaan SOP di kalangan pendidik dan pelajar turut menyumbang kepada penularan wabak ini di kalangan pelajar.

Ini dapat dibuktikan dengan lebih banyak lagi sekolah berasrama yang tidak mempunyai sebarang kes positif disebabkan oleh SOP yang ketat ditambah dengan peraturan tiada lawatan dibenarkan sekalipun untuk menghantar barang keperluan. Penggunaan perkhidmatan kurier turut meningkat di sekolah-sekolah berkenaan dan dengan kerjasama daripada pihak sekolah, walaupun ia mengakibatkan lambakan barangan yang dihantar oleh ibu bapa di ruang pejabat atau ruang yang telah ditetapkan untuk memuatkan longgokan barang ini sekalipun, barang-barang yang dipos ini dipastikan agar diterima oleh pelajar-pelajarnya dengan baik.

Program keagamaan seperti solat tarawih dan tadarus di surau dan masjid dibenarkan tetapi mengikut SOP yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir yang tidak mengikut SOP dengan duduk bertadarus di dalam kedudukan yang rapat, mengambil gambar selepas majlis secara berkumpulan dengan tiada penjarakan sosial, bersentuh dan bersalaman ketika selesai solat, berkumpul dan bersembang setelah habis melaksanakan ibadah solat sunat tarawih tanpa memakai pelitup muka dengan sempurna dan ada di antara mereka yang menghisap rokok atau vape. Tidak ketinggalan juga mereka yang bermain bunga api bersama-sama dengan jiran tetangga dengan tidak mengikut SOP dan tiada penjarakan fizikal yang sewajarnya.

Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ini dikatakan dilaksanakan terlalu lewat sehingga menimbulkan kluster keagamaan dan kluster perayaan sedangkan kebenaran melaksanakan solat terawih dan tadarus adalah dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), solat Hari Raya diizinkan untuk Ahli Jawatankuasa Masjid/Surau dengan mengikut SOP, berziarah di Hari Raya adalah dilarang, merentas negeri untuk pulang berhari raya juga dilarang.

Keghairahan untuk berhari raya setelah tidak dapat beraya bersama di kampung halaman dan halangan merentas negeri dan daerah mencetuskan kreativiti dalam sesetengah masyarakat untuk menggunakan alasan Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ), menziarahi keluarga yang sakit, dan ada juga yang sanggup untuk beraya di pusat membeli belah.

Alangkah sukar untuk pihak kerajaan bagi mengenal pasti alasan yang betul dan yang mana yang menipu untuk kepentingan diri sendiri. Kerajaan juga bukanlah diktator yang menghalang pergerakan rakyat sekiranya diperlukan. Jangan jadikan kita sebagai kanak-kanak yang menjerit, ‘Serigala! Serigala!’ sehingga suatu ketika nanti kata-kata kita tidak lagi dipercayai. Kepercayaan yang diberikan oleh pihak berwajib seharusnya tidak menjadi
kelonggaran untuk kita melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Bukan sahaja peraturan yang sebegini dilanggar, malah ada juga yang sebaik sahaja mendapat tahu yang kawasan tersebut akan dikenakan sekatan atau diperketatkan keselamatannya, terus melarikan diri dan berkumpul di suatu kawasan yang lain, mengakibatkan keseluruhan kawasan yang didatanginya dijangkiti dan mengakibatkan kesan yang terlalu buruk. Tidak cukup dengan perlanggaran sebegitu, terdapat juga pesakit yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah yang keluar membeli belah dengan pelbagai alasan termasuklah ‘bosan’ dan ada yang turut cuba menghantar anak yang memakai gelang ke pusat tuisyen dengan alasan ‘anak saya tidak bergejala’.

Bukan sekali juga pegawai perubatan di klinik kerajaan dan swasta terpaksa menjalani pemeriksaan calitan (swab test) disebabkan oleh pesakit yang merahsiakan status kesihatan mereka. Ada juga yang sanggup memotong gelang bagi memastikan tiada siapa yang mengetahui bahawa mereka perlu dikuarantin. Persoalannya sekarang, siapakah yang ingin kita bohongi?

Iklan penerangan tentang penyakit Covid-19 dan vaksin serta kepentingannya sudah acap kali ditayangkan di kaca televisyen, dikongsikan di media sosial termasuklah Facebook, Instagram dan turut diciap semula melalui akaun Twitter dari pelbagai pihak namun sayangnya masih ramai yang memilih untuk mendengar dan membaca daripada sumber-sumber yang tidak diyakini.

Perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan salah satu daripada perkhidmatan kesihatan yang terbaik di dunia. Nisbah mortaliti ibu bersalin (Maternal Mortality Ratio) juga meletakkan kita di tangga ke 113 daripada 184 negara yang mempunyai rekod tersebut. Program imunisasi bagi bayi dan kanak-kanak turut dilaksanakan secara meluas sejak tahun 1956 dengan vaksin BCG bagi mencegah tuberkulosis dan terkini turut memasukkan suntikan vaksin pneumococcal bagi mencegah pneumonia bermula pada tahun 2020 tidak lain tidak bukan bagi meningkatkan taraf kesihatan setanding dengan negara-negara maju.

Sayangnya rekod sebegini tidak akan dapat dikekalkan sekiranya terdapat segelintir pihak yang masih cuba mengeruhkan keadaan dengan menyebarkan maklumat yang palsu, tidak sahih dan masih ada yang cuba menakut-nakutkan bakal penerima vaksin dengan maklumat yang palsu dan tidak benar.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah dilancarkan pada 24 Februari 2021 bertujuan untuk memberi perlindungan kepada segenap lapisan masyarakat daripada jangkitan COVID-19 dan mengurangkan komplikasi akibat jangkitan berkenaan. Untuk memastikan kejayaan program ini, KKM perlu memastikan sekurang-kurangnya 80% daripada rakyat Malaysia telah menerima suntikan ini.

Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) turut bekerjasama dengan pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan, Kerajaan Negeri dan Agensi Bukan Kerajaan bagi memastikan kelancaran perlaksanaan program ini.

Program ini dibahagi kepada tiga fasa utama iaitu Fasa 1 bagi petugas kesihatan, perkhidmatan penting dan pertahanan yang bermula pada bulan Februari sehingga April 2021, Fasa 2 mensasarkan warga emas, penghidap penyakit kronik dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dianggarkan bermula pada bulan April sehingga bulan Ogos 2021 manakala Fasa 3 program ini mensasarkan golongan yang berusia 18 tahun ke atas mulai Mei 2021 sehingga Februari 2022.

Tidak dinafikan terdapat beberapa perkara yang telah mengakibatkan kelewatatan dari segi pencapaian keseluruhan program ini namun diharapkan dengan kerjasama daripada semua pihak dan penerimaan yang baik daripada segenap lapisan masyarakat, masalah yang dihadapi boleh ditangani dengan baik.

Ternyata dalam kemelut pandemik ini, kerajaan Malaysia bukan sahaja perlu memastikan kesihatan rakyat berada di dalam tahap yang optimum, malah terpaksa memastikan pelbagai aspek lain termasuk pertahanan, ekonomi dan politik negara berada di dalam keadaan yang stabil. Tanggungjawab ini bukanlah suatu perkara yang mudah sekiranya kita sebagai rakyat tidak akur dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

Setiap daripada kita memegang tanggungjawab dan amanah untuk menjaga kesihatan diri sendiri dengan memastikan kita sentiasa mengamalkan SOP yang ketat dan mengelakkan daripada melakukan perkara yang membolehkan kita dijangkiti virus ini. Kita adalah benteng pertama yang boleh menghalang daripada virus ini merebak.

Pengambilan vaksin Covid-19, tidak kira jenis yang mana, semuanya bertujuan untuk menghalang daripada dijangkiti, menghalang daripada terkena komplikasi yang teruk akibat jangkitan, sekali gus mengelakkan daripada menyebarkan jangkitan kepada orang lain. Walau bagaimanapun, selagi imuniti kelompok tidak tercapai, masih ada ruang untuk virus itu membiak dan tersebar dan semakin pantas dan meluas ia tersebar makin tinggi peluang untuk virus itu menjangkiti insan yang kita sayangi.

Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah diri dan memastikan bahawa kita telah mengamalkan SOP yang ketat termasuklah sesama rakan sekerja, jiran tetangga dan saudara mara. Ayuh kita contohi negara-negara yang telah berusaha keras mengamalkan Kawalan Pergerakan Kendiri yang ketat dan akhirnya telah berjaya menurunkan kes positif Covid-19 dengan kerjasama semua pihak, termasuklah dengan mengetatkan keselamatan di semuapintu masuk ke dalam negara dan di antara negeri-negeri.

Elakkanlah daripada memberi helah dan pelbagai alasan atau menggunakan kelebihan yang ada pada diri masing-masing untuk melakukan aktiviti yang mungkin memudaratkan kesihatan diri sendiri dan orang lain. Semakin tinggi kedudukan kita di mata masyarakat, seharusnyalah kita menunjukkan contoh dan tauladan yang baik.

Tidak dinafikan, kepimpinan yang baik akan menghasilkan negara yang baik. Namun kepimpinan yang baik itu bermula daripada diri sendiri. Setiap manusia adalah khalifah yang memimpin diri sendiri, setiap ketua keluarga memimpin keluarganya, setiap ketua masyarakat memimpin ahli kariah dan kampungnya, setiap Menteri Besar bertanggungjawab ke atas negerinya, dan setiap Perdana Menteri atau Presiden itu bertanggungjawab ke atas mereka yang dipimpinnya. Penting juga bagi kita memahami bahawa tanggungjawab itu berlaku secara dua hala.

Salah satu langkah yang amat penting untuk dilaksanakan dengan segera pada masa ini adalah memastikan segenap lapisan masyarakat mendapat akses yang sama kepada vaksin. Semua pemimpin daripada pelbagai lapisan masyarakat haruslah bersama-sama melaksanakan tanggungjawab memastikan mereka yang di bawah jagaan dan tanggungjawab mereka telah mendaftar, memberi persetujuan untuk hadir dan memastikan kehadiran mereka pada hari yang ditetapkan. Sekiranya semua pihak sama-sama berganding bahu tanpa mengira kaum, agama dan pandangan politik yang berbeza, pastinya usaha ini akan membuahkan kejayaan pada waktu yang singkat.

Penglibatan daripada hospital dan klinik swasta yang meningkat juga menunjukkan kesungguhan daripada pelbagai pihak di peringkat pelaksanaan untuk memenuhi sasaran capaian vaksin ini. Pastinya permuafakatan yang menyeluruh mampu menatijahkan hasil yang baik buat keseluruhan rakyat Malaysia khasnya.

Sesungguhnya Allah telah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 59 yang berbunyi, “Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taaatilah Rasul dan ulul-Amr di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (as-Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya.”

Jadi, persoalan sama ada siapa yang gagal hanya mampu dijawab oleh diri kita sendiri. Sudahkah kita menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat kepada sebuah kerajaan? Sudahkah kita mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan? Sudahkah kita bersikap jujur kepada diri kita sendiri dan orang di sekeliling kita?

Sesungguhnya apa yang melanda permasalahan negara kita adalah disebabkan oleh kesalahan diri kita sendiri. Satu jari kita tunjuk kesalahan disebabkan oleh kegagalan kerajaan, dan sepatutnya empat jari lagi kita tunjuk kepada kesalahan dan kealpaan diri kita sendiri. Kami mohon supaya marilah kita sama sama menginsafi diri kita sendiri supaya memuhasabah diri dan membaiki kesalahan yang kita lakukan bersama sama.

Pintu taubat masih terbuka, dan Allah SWT akan membantu hamba hambaNya yang bertaubat. Marilah kita sama sama bersatu hati membanteras dan mencegah penyakit Covid 19 daripada terus berlaku. Bagi ahli politik, berhentikanlah buat seketika waktu berbalahan dan perselisihan pendapat  dikalangan kalian. Carilah titik persamaan dan buanglah titik perbezaan bagi membantu negara serta rakyat dalam berhadapan dengan wabak ini. Kasihanlah kepada rakyat anda!

Tepuk dada, tanyalah iman. Pastinya kita tidak mahu negara yang mengongkong setiap pergerakan rakyatnya seperti ‘Big Brother’ dan pastinya tiada pemimpin yang mahu menghancurkan kerajaannya sendiri.

Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
Setiausaha EXCO Wanita Remaja dan Kanak-kanak (WARAK)

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM