Julie Faridah.

KUALA LUMPUR – Industri filem kehilangan seorang lagi permata seni hiburan tanah air, Toh Puan Julie Faridah@Joria Basir yang menghembus nafas terakhir di Hospital Pantai di Ipoh, Perak semalam akibat jangkitan virus.

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dalam satu kenyataan berkata, Julie Faridah terkenal dengan watak Faridah menerusi filem Keluarga 69 arahan Tan Sri P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1967.

Arwah dilahirkan pada 25 November 1944 di Bentong, Pahang terpaksa melupakan hasrat untuk terus aktif di dalam dunia seni disebabkan mengikut arwah suaminya, Datuk Seri Azizul Hassan sebagai pegawai kanan polis ketika itu.

“Menurut anaknya, Aziah Jasmin, ibunya meninggal dunia di sisi ketiga-tiga anaknya dengan tenang setelah dua minggu dimasukkan ke hospital.

“Jenazah allahyarhamah dimandikan dan dikafankan di rumahnya di Jalan Watson Ipoh sebelum dibawa ke Perkarangan Masjid Dato’ Panglima Kinta untuk dikebumikan bersebelahan kubur suaminya 11 pagi semalam,” kata kenyataan itu.

Arwah yang meninggalkan tiga orang anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan juga berbesan dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail .

Anak lelakinya, Mohammad Yaakob berkahwin dengan anak bongsu Tuanku Syed Sirajuddin, Tengku Puteri Mahkota Perlis Sharifah Fariza. – MalaysiaGazette