KUALA LUMPUR – Melalui caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan, Orang Bekerja Sendiri (OBS) layak menerima faedah disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, antara faedah disediakan ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan pendidikan.
Kata beliau, berdasarkan statistik PERKESO, sehingga 30 Mei lalu, seramai 25,634 pegawai masjid di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berdaftar dengan agensi itu berbanding 147,702 pencarum aktif direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS.
“Kita mengharapkan pencarum terus meningkat kerana jumlah ini sangat kecil, iaitu hanya 5.43 peratus berbanding jumlah keseluruhan OBS di negara ini yang berjumlah 2.72 juta orang.
“Bagi menggalakkan penyertaan OBS di bawah skim ini, pelbagai pendekatan strategik giat dilaksanakan Perkeso,” katanya dalam majlis pelancaran perlindungan PERKESO kepada pegawai masjid seluruh negara menerusi atas talian dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini.
Turut bersama dalam program secara langsung menerusi atas talian itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Isllam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Bahagian Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri PERKESO, Azhar Md. Nadzri.
Menurut Mohammed Azman, dalam usaha mempromosikan skim itu kepada kumpulan sasar dalam kalangan OBS, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif khusus bagi menarik lebih ramai mencarum dengan SKSPS.
Antaranya kata beliau, Program PenjanaGig, SPS Lindung, KerjayaGig dan SPS Prihatin Wanita, yang mana ia diperkenalkan kerajaan menerusi beberapa pakej rangsangan ekonomi untuk mengatasi krisis pandemik Covid-19.
Ujar beliau, ketika pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan telah mengumumkan satu program khas untuk OBS iaitu SPS Lindung.
Jelasnya, dengan peruntukan sebanyak RM24 juta, program itu menyasarkan kumpulan OBS seperti pengkhidmat masjid di bawah kelolaan JAKIM seperti guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut.
“Bantuan kerajaan melalui SPS Lindung ini berbentuk pembiayaan penuh 100 peratus caruman SKSPS di bawah Pelan 2 iaitu dengan kadar caruman RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.
“Menerusi inisiatif program ini juga kerajaan mengharapkan mereka yang telah menerima pembiayaan caruman ini terus kekal mencarum dengan Perkeso bagi memastikan perlindungan keselamatan sosial terjamin.
“Usaha dan sokongan penggalakan berterusan ke atas perkara ini oleh agensi seperti JAKIM amat dihargai dan kita sedia memberi kerjasama pelbagai aspek meliputi aktiviti dan program berkaitan keselamatan sosial pekerja seperti aktiviti pencegahan kemalangan dan lain-lain,” katanya.
Bagi OBS yang bekerja di bawah ekonomi gig, beliau mengajak pencarum memanfaatkan Program PenjanaGig Perkeso kerana menerusi program ini, pekerja gig mendapat perlindungan SKSPS di bawah Pelan 2 selama setahun.
“Melalui program ini, kerajaan membiayai 70 peratus daripada bayaran caruman RM232.80 manakala baki 30 peratus lagi daripada orang yang bekerja sendiri ataupun sumbangan daripada platform penyedia perkhidmatan gig.
“Ini bermakna, OBS atau pun platform penyedia perkhidmatan hanya perlu mencarum RM69.80 setahun sementara bakinya RM163 akan ditanggung kerajaan. Mereka boleh berdaftar di bawah Program PenjanaGig melalui gig.perkeso.gov.my bermula 15 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021,” katanya.
Menurut Mohammed Azman lagi, satu lagi program diumumkan kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) iaitu SPS Prihatin Wanita dengan sasaran 60,000 orang.
Program SPS Prihatin Wanita ini mensasarkan golongan usahawan wanita atau wanita yang bekerja sendiri dan ianya sama seperti Program PenjanaGig, yang mana kerajaan akan membiayai caruman Pelan 2 SKSPS sebanyak 70 peratus dan 30 peratus akan dibayar oleh OBS.
“Permohonan ini juga sudah dibuka pada 1 April lalu sehingga 31 Disember 2021,” katanya. – MalaysiaGazette